JAKARTA - INDONESIA. Enam bulan selepas gempa bumi dan tsunami yang melanda bandar Palu,ribuan kanak-kanak masih lagi tinggal di penempatan sementara, kata agensi bantuan.
"Setelah enam bulan berlalu, kami berasa amat bimbang dengan nasib hampir 6,000 kanak-kanak yang terpaksa tinggal di penempatan sementara seperti khemah dan rumah yang telah rosak," kata Tom Howells dari Pertubuhan Save the Children.
Iklan
Iklan
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun bernama Salsa dan ibu bapanya yang berasal dari Donggala kini terpaksa meneruskan kehidupan di khemah sementara susulan gempa Palu.
"Kami menggunakan bateri untuk menyalakan lampu dan khemah juga sempit," kata Salsa sambil menambah, setiap kali tidur terdapat banyak tikus yang berkeliaran.
Hujan monsun pula mendedahkan kanak-kanak dan penduduk lain kepada wabak malaria dan demam denggi.
Menurut agensi bencana Indonesia, gempa bumi berkekuatan 7.5 magnitud yang meranapkan pekan pantai di Kepulauan Sulawesi September tahun lalu, membunuh lebih 4,300 orang.
Sejumlah 170,000 penduduk Palu dan daerah sekitar masih tidak mempunyai tempat tinggal akibat kawasan kejiranan yang rosak teruk selain terpaksa berdepan proses pemulihan yang amat perlahan. - AFP