KUANTAN - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pahang mengingatkan semua majikan di negeri ini supaya mengemas kini maklumat pekerja mereka sehingga penghujung bulan ini.
Pengarahnya, Tarmizi Mukhtar berkata, majikan yang gagal berbuat demikian akan berdepan tindakan termasuk dikenakan kompaun.
Menurutnya, pemutihan bagi mengesan majikan yang belum mendaftarkan pekerja mereka dengan Perkeso Pahang sedang dijalankan sepanjang bulan ini.
"Ops Pemutihan akan dilakukan sehingga 31 Mei dan Ops Kesan iaitu mengesan majikan yang tidak mendaftarkan pekerja akan bermula pada Jun bagi memastikan mereka mencarum,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Bersama Pemimpin Masyarakat dan Sambutan Aidilfitri Peringkat Pejabat Perkeso di Wisma Perkeso di sini pada Rabu.
Majlis dirasmikan Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Jumshoiry Novdany Mohd Sulaiman.
Pada majlis itu, Jumshoiry menyerahkan replika cek kepada Normaryana Hamid, 29 (kiri) yang menerima Feadah Pengurusan Mayat Perkeso berjumlah RM2,000.
Selain itu, Tarmisi memberitahu, majikan perlu mendaftar pekerja selaras dengan Akta Perkeso 1969 dan bagi majikan untuk pekerja warga asing pula tertakluk kepada Akta Insurans Pekerjaan 2017.
Mengulas mengenai pampasan dibayar Perkeso Pahang kepada pencarum sejak awal tahun ini, Tarmizi berkata, sejumlah RM10.4 juta sudah diagihkan kepada penuntut yang layak dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Katanya, tuntutan kebanyakannya membabitkan kemalangan dan hilang upaya sementara.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan setiap proses tuntutan oleh pencarum diproses dan diluluskan dalam tempoh tiga hari selepas menerima laporan.
"Kita sentiasa berusaha mempercepatkan setiap proses (tuntutan) dan sebaik menerima laporan atau pencarum mengemukakan tuntutan, kita pastikan dalam masa tiga hari, semua dokumen dilengkapkan," katanya.