KUALA KEDAH -"Belum pun hilang penat mengemas, rumah sekali lagi dinaiki air akibat fenomena air pasang besar sejak tiga hari lalu," kata salah seorang penduduk, Mohd Salleh Ahmad, 46, dari Taman Sri Putra dekat sini.
Dalam kejadian terbaharu kira-kira jam 2.19 petang Rabu, rumah Mohd Salleh antara 300 kediaman di sekitar Kuala Kedah kembali dinaiki air apabila paras air laut mencapai tahap puncak setinggi 2.3 meter (m) hingga menyebabkan air laut melimpah ke kawasan perumahan penduduk.
Mohd Salleh berkata, dia bukan hanya menanggung kerugian akibat kerosakan perabot dan barangan elektrik dalam rumahnya, malah kepenatan kerana terpaksa mengemas berulang kali.
"Pada hari pertama, air dah masuk ke dalam rumah hingga ke paras lutut (0.5 m) secara tiba-tiba dengan capat menyebabkan kami sekeluarga panik.
"Apabila air surut, banyak barangan didapati rosak seperti tilam, tikar getah dan barangan elektrik hingga ada yang terpaksa dibuang,"katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya pada Rabu.
Menurutnya, dia sekeluarga termasuklah isterinya, Rosmah Ghazali, 42, bertungkus lumus mengangkat beberapa barangan ke tempat tinggi dan mencuci rumah.
"Kesan banjir kilat pada Isnin pun masih belum sempat kemas dan cuci, sekarang rumah sekali lagi dinaiki air cumanya tidak setinggi sebelum ini," ujarnya.
"Apa pun kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku walaupun kepenatan dan terpaksa menanggung kerugian besar akibat banjir kilat," ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Siti Mariam Ahmad, 38, berkata, banyak peralatan khususnya barangan elektrik dalam rumahnya tidak dapat diselamatkan.
"Mujurnya, kami sempat meletakkan perabot ke tempat tinggi, tapi barangan lain tidak sempat diambil menyebabkan ia mengalami kerosakan," katanya.
Siti Mariam memberitahu, dia dan ahli keluarganya turut keletihan apabila terpaksa mencuci rumah selama lima jam berulang kali setiap hari sejak Isnin lalu
"Memang penat dan letih. Kami dan cuci rumah elok-elok sehingga kering selepas air naik pada Isnin disebabkan tiada tempat untuk tidur. Tidak sangka, air naik lagi pada Selasa dan Rabu, menyebabkan kami terpaksa melakukannya berulang kami," jelasnya.
Situasi sama turut dilalui Abdul Rahman Salleh, 70, yang buntu memikirkan perkakas kediamannya yang rosak akibat terendam dalam air akibat banjir kilat berikutan fenomena air pasang itu.
"Banyak wang telah dikeluarkan membeli perkakas rumah ketika menyambut Syawal, sekarang kebanyakannya dah rosak dan pak cik pula hanya kerja kampung dengan upah sekitar RM35 sahaja,"katanya.
Bagi penduduk Kampung Balai, Norhayati Abdul Rahman, 51, banjir kilat itu sememangnya memberi kesan mendalam kepada keluarganya, apatah lagi terpaksa melaluinya berulang kali.
Katanya, ia disebabkan banyak kelengkapan rumah rosak selepas air laut melimpah masuk ke kediamannya akibat fenomena air pasang sejak tiga hari lepas.
"Memang rasa agak pilu sebab ada barang perkakas rumah seperti mesin basuh yang baharu dibeli rosak selepas rumah dimasuki air pada Isnin lalu.
"Kami baharu beli mesin basuh itu selepas yang lama rosak apabila rumah dimasuki air tahun lepas, kini rosak semula akibat limpahan air," katanya.
Menurut suaminya, Ibrahim Yaakob, 50, air naik beberapa kali sejak beberapa hari lalu sebelum surut.
"Selain rumah kami, banyak kawasan termasuklah kawasan parkir kenderaan berhampiran Terminal Feri Kuala Kedah turut dinaiki air," katanya.