IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menerima 94 kes kecemasan melibatkan panggilan mencari dan menyelamat mangsa hilang serta sesat dalam kawasan hutan sejak 2021 hingga April lalu.
Pengarahnya, Azmi Osman berkata, sebanyak tujuh mangsa ditemukan maut dalam operasi yang dijalankan tahun lalu manakala selebihnya dilaporkan cedera.
"Sepanjang tahun 2021, 67 kes dilaporkan dengan tujuh mangsa ditemui maut, 11 mangsa cedera dan 49 orang diselamatkan dengan kecederaan ringan.
"Bagi tahun ini sehingga April lalu, sebanyak 27 kes diterima melibatkan tujuh mangsa ditemui dalam keadaan cedera dan sembilan diselamatkan dengan kecederaan ringan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menurutnya, terdapat sembilan lokasi yang dilaporkan mangsa sesat serta hilang melibatkan daerah Kinta, Muallim, Hulu Perak dan Larut Matang Selama (LMS).
"Kawasan terlibat adalah Gunung Korbu dan Gayong, Gunung Suku, Bukit Larut, Gunung Bujang Melaka, Bukit Intan, Bukit Kledang, Gunung Liang, Bukit Celcom dan Gunung Kenderong/Kerunai.
"Faktor berlakunya kejadian sesat dan hilang adalah disebabkan mangsa tersasar daripada trek, mendaki berseorangan selain mendaki pada waktu gelap," katanya.
Azmi berkata, pendaki diingatkan untuk melakukan persediaan awal sebelum melakukan aktiviti riadah tersebut serta memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik.
"Sebaiknya mereka perlu mendapatkan khidmat daripada pakar seperti malim gunung dan Jabatan Perhutanan Perak selain pendakian perlu dilakukan secara berkumpulan.
"Kumpulan ini perlu memaklumkan aktiviti mereka kepada pihak berkuasa dan membawa peta serta kompas selain mempunyai alat komunikasi yang baik," ujarnya.