Selangor rujuk JAIS isu guru KAFA tamat kontrak kerana tolak vaksin

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan mendapatkan maklumat daripada Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang ditamatkan kontrak pada awal Mei ini kerana menolak vaksin Covid-19.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penelitian perlu dibuat terlebih dahulu untuk menjaga kebajikan golongan tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya perlu dapatkan (maklumat) kerana urusan kontrak adalah berkaitan dengan Bahagian Pendidikan JAIS.

"Jadi pihak negeri akan mengenal pasti perkara tersebut," katanya ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Kerjasama Rentas Negeri di antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Menteri Besar (Pemerbadanan) Negeri Sembilan (MNINS) bagi tanaman jagung bijirin menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan di Wisma PKPS pada Rabu.

Iklan

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan Selangor tetap dengan pendiriannya supaya semua pihak mempunyai kesedaran awam dan bekerjasama untuk membentuk imuniti kelompok bagi menangani wabak Covid-19.

Ujarnya, perkara tersebut sukar dicapai jika terdapat segelintir pihak berkeras menolak untuk mengambil vaksin Covid-19 yang seterusnya menyukarkan pengekangan wabak terbabit.

Iklan

"Kita ambil tindakan tegas itu untuk beri semangat kebersamaan (tangani Covid-19) kecuali dia mempunyai laporan doktor yang tidak layak atau tidak boleh mengambil vaksin.

"Katalah hanya sebahagian kecil itu berjangkit kepada semua dan ramai orang tidak mengambil vaksin, kita tidak akan dapat menangani pandemik ini.

"Kita juga lihat situasi apabila mungkin perkara ini sudah tidak lagi harus diperkirakan dan tidak menjadi isu, tapi semangat kebersamaan di peringkat awal ini perlu diterapkan," katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan tentang sekumpulan guru KAFA yang menolak vaksin didakwa dianiaya oleh JAIS setelah diarahkan bertugas walaupun digantung elaun pada Mac dan April lalu.

Kontrak perkhidmatan mereka kemudiannya ditamatkan pada awal Mei lalu selepas didapati masih gagal mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.