SKUAD ping pong negara gagal melakar kejutan dan terpaksa berpuas hati dengan dua pingat gangsa, masing-masing dalam acara beregu lelaki dan wanita setelah terkandas di peringkat separuh akhir Sukan SEA ke-31 di sini pada Rabu.
Pada saingan berlangsung di Gimnasium Hai Duong itu, gandingan negara Choong Javen-Wong Qi Shen terpaksa akur di tangan pasangan Singapura Chew Zhe Yu-Poh Shao 5-11, 8-11, 8-11 dalam kategori lelaki.
Sementara dalam acara beregu wanita, Ho Ying-Karen Lyne tumpas kepada Zhou Jingyi-Zeng Jian, juga dari Singapura, 11-13, 2-11, 5-11.
Setakat ini, Malaysia memenangi satu pingat perak dan tiga gangsa.
Ahad lepas, skuad negara meraih pingat perak selepas tewas 1-3 kepada Thailand pada final lelaki berpasukan manakala skuad wanita meraih gangsa apabila kalah 0-3, juga kepada Thailand.
Pada Sukan SEA 2019, Malaysia meraih keseluruhan dua pingat gangsa dalam acara beregu lelaki, manakala acara berpasukan tidak dipertandingkan pada temasya sukan tersebut.
Acara perseorangan lelaki dan wanita individu akan bermula malam ini. - Bernama