SKUAD negara bermula cemerlang pada hari pertama acara karate Sukan SEA ke-31 apabila meraih dua pingat emas masing-masing dalam acara Kumite di Gimnasium Sukan Wilayah Ninh Binh, kira-kira 100 kilometer dari sini.
C Shahmalarani, yang membuat penampilan sulung pada temasya sukan dwitahunan itu, menyumbangkan pingat emas pertama Malaysia dalam kategori bawah 55kg wanita selepas menumpaskan peserta Thailand, Chanyanut Chippensuk, dalam aksi final, pada Rabu.
Atlet berusia 24 tahun itu mengungguli acara berkenaan setelah wakil dari Thailand itu patah tangan dan tidak dapat meneruskan pertarungan.
Terdahulu, Shahmalarani mara ke final selepas menewaskan Ririhena Sharon Verlina dari Indonesia 9-1 di pusingan kedua dan peserta Laos Laoyang Kengthong 8-0 di pusingan ketiga.
Ketika ditemui pemberita, Shahmalarani berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja keras yang dilakukannya sejak beberapa tahun lepas bagi menghadapi temasya sukan itu.
"Memang menjadi impian saya untuk menyumbangkan pingat emas kepada Malaysia pada Sukan SEA. Kejayaan ini ibarat mimpi,” katanya yang turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menyokong perjalanan kariernya selama ini.
Sementara itu, H Sureeya Sankar turut cemerlang pada penampilan sulungnya di temasya Sukan SEA apabila menyumbangkan emas kedua negara.
Sureeya menewaskan peserta Indonesia Hutapea Tebing 5-3 dalam aksi final bawah 67kg lelaki.
Beliau memulakan cabaran pada temasya Sukan SEA Hanoi dengan mencatat kemenangan 3-1 ke atas wakil tuan rumah Dang Hong Son dan menewaskan Manantan John Matthew Coronel dari Filipina 8-0 untuk layak ke final.
Sementara itu, S Prem Kumar yang meraih emas acara Kumite bawah 55kg pada edisi 2019 di Filipina, gagal meneruskan aksi cemerlangnya di Hanoi apabila sekadar meraih gangsa bersama peserta Filipina Jayson Ramil Macaalay Ordonez.
Beraksi dalam kategori bawah 60kg kali ini, Prem Kumar tumpas di peringkat separuh akhir kepada peserta Indonesia Adi Saputra yang meraih emas acara itu, manakala pingat perak milik wakil tuan rumah Van Hien Vo.
Kem karate negara turut meraih gangsa menerusi Muhammad Aiqal Asmadie dalam acara Kata Individu lelaki yang dimenangi atlet Indonesia Ahmad Zigi Zaresta Yuda, sementara perak diraih Pham Minh Duc dari Vietnam. - Bernama