SKUAD badminton lelaki negara meraih pingat perak Sukan SEA Hanoi 2021 selepas tewas 0-3 kepada Thailand bagi acara berpasukan akhir di Gimnasium Bac Giang, pada Rabu.
Setelah mengejutkan Singapura 3-2 pada aksi separuh akhir pada Selasa, skuad badminton negara dilihat gagal meneruskan momentum kemenangan setelah menerima tentangan sengit daripada Thailand.
Iklan
Iklan
Pada aksi perseorangan pertama negara, Kok Jing Hong tewas 10-21, 15-21 kepada jaguh Thailand, Kunlavut Vitidsarn.
Setelah tewas 10-21 di set pertama, Jing Hong dilihat mula bangkit memberikan tentangan kepada Kunlavut pada set kedua bagaimanapun pemain ranking ke-18 dunia itu menggunakan pengalamannya untuk menewaskan Jing Hong.
Gandingan beregu pertama negara, Tee Kai Wun-Man Wei Chong kemudiannya berjaya memberikan tentangan sengit kepada beregu Thailand, Chaloempon Charoenkitamorn-Nathakarn Yordpaisong sebelum tewas 20-22, 20-22.
Pemain perseorangan ketiga negara, Lee Shun Yang turut berdepan nasib yang sama apabila tewas 21-16, 13-21, 19-21 kepada Khosit Petphradab
Biarpun memenangi set pertama 21-16, namun Shun Yang kemudiannya terpaksa akur dengan kehebatan pemain ranking ke-45 dunia itu apabila tewas pada dua set berikutnya untuk skuad badminton negara meraih pingat perak pada Sukan SEA kali ini.