KUALA TERENGGANU - Tidak lengkap bagi anak perantau yang pulang ke Terengganu tanpa mencuba jering rebus Pok Ali yang dijual di jalan belakang Bukit Besar, di sini.
Kudapan tradisional yang popular ketika minum petang itu masih memiliki aura tersendiri dan sering diburu terutama anak perantau yang pulang ke kampung halaman atau ingin kembali semula ke ibu kota.
Menurut Ali Ismail, 60, ketika musim perayaan baru-baru ini, dia tidak menang tangan menghasilkan jering rebus untuk memenuhi permintaan pelanggan.
"Ada pelanggan yang sudah telefon saya awal-awal minta saya simpan jering rebus sebagai bekal untuk pulang ke Kuala Lumpur.
"Ada juga yang telefon dulu untuk tanya sama ada saya ada jual atau tidak jering rebus pada hari tersebut, bila saya kata ada jual, terserlah perasaan gembira bagi peminat jering rebus ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi perniagaannya pada Rabu.
Menurut Ali, kaedah dan pantang larang merebus jering dipelajari daripada sepupunya, yang juga digelar Pok Ali sebelum lelaki berkenaan meninggal dunia lima tahun lalu.
Katanya, hanya jering tua yang telah siap direbus boleh dimakan bersama kelapa parut atau dimasak mengikut resipi lain.
"Jering tua tidak boleh dimasak sembarangan. Pernah berlaku kejadian tidak diingini menimpa seorang warga asing yang memasak jering tua bersama sayur menyebabkan lelaki tersebut meninggal dunia.
"Sebab itulah, walaupun saya ditawarkan RM50 untuk menjual seulas jering tua ini, saya tetap akan menolak. Saya hanya jual jering yang sudah siap direbus.
"Tidak dinafikan, ada juga yang datang bertanya mahu membeli jering tua, saya awal-awal menolak kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini," katanya.
Ali yang telah mengusahakan perniagaan itu sejak lima tahun lalu berkata, pelbagai resipi boleh diolah mengggunakan jering yang sudah siap direbus.
"Bagi mereka yang kurang menggemari jering rebus yang dicicah bersama kelapa muda parut, boleh mencuba pelbagai menu masakan lain yang bersesuaian.
"Antaranya boleh disira, masak lemak atau sambal serta beberapa lagi resipi lain yang sesuai.
"Semuanya boleh dibuat dengan syarat jering ini perlu melalui proses rebusan sehingga benar-benar masak untuk mengeluarkan racun yang ada pada buahan hutan itu," katanya.
Menurut Ali, proses merebus jering nampak agak senang, namun ia sebenarnya rumit kerana memakan masa untuk masak sekurang-kurangnya 24 jam atau selama tiga hari untuk ia benar-benar masak.
"Jering ini direbus terlebih dahulu bagi memudahkan proses mengupas kulit. Ia sekali lagi akan direbus untuk memastikan ia benar-benar masak. Semakin lama jering direbus rasanya semakin enak.
"Untuk menghasilkan jering rebus yang berkualiti dan enak perlu menggunakan kayu api dan ia dibakar pada tahap sederhana.
"Tidak boleh terlalu kuat kerana akan mengganggu tekstur buahan itu," katanya.
Ali berkata, disebabkan bekalan jering di Terengganu kini agak berkurangan, dia mendapatkan bekalan buahan hutan itu daripada seorang pembekal di Perak.
"Harga bagi jering tempatan di Terengganu ialah RM60 hingga RM70 untuk setiap 1,000 biji.
"Disebabkan jering di Terengganu hanya mudah diperoleh pada Ogos, saya terpaksa mendapatkan bekalan dari luar.
"Saya beli jering dari Perak pada harga mencecah RM6,000 bagi kuantiti lebih 300 kilogram (kg)," katanya yang turut dibantu anak sulungnya, Muhammad Zulkhairi, 32.
Jering rebus yang disediakan bersama kelapa parut dijual pada harga RM5 bagi setiap sukatan (satu cawan).
Selain jering, gerai jualan Ali turut menyediakan buah perah rebus, buah kulim dan air rebusan buah kulim yang digunakan sebagai inisiatif dalam perubatan tradisional.