MAHB lancar dana RM5 juta tingkatkan pelancongan Langkawi

Iklan
MAHB

LANGKAWI - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini melancarkan Dana Promosi Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITPF) bernilai RM5 juta dalam usaha menjayakan kempen pemasaran dan promosi Langkawi sebagai destinasi percutian.

Program itu berlangsung selama dua tahun mulai Jun 2019 dengan sokongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan dana itu ditawarkan kepada penggiat industri yang layak seperti syarikat penerbangan, ejen serta operator pelancongan dan syarikat pemasaran destinasi.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Raja Azmi Raja Nazuddin berkata MAHB telah menggiatkan usaha dengan memperbaiki hubungan rangkaian dan mempromosikan pelancongan terutamanya di lapangan-lapangan terbang kedua seperti Langkawi untuk meletakkan Malaysia sebagai hab penerbangan global.

Insentif yang menarik juga ditawarkan untuk menarik syarikat-syarikat penerbangan yang baharu dan melalui program ini, syarikat-syarikat penerbangan yang baharu akan menerima satu pengecualian caj mendarat dan sokongan dalam menanggung kos operasi mereka bagi tahun pertama operasi di lapangan terbang MAHB.

Iklan

Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) merekodkan pergerakan trafik penumpang sebanyak 2.7 juta pada tahun lepas dan 13 peratus daripada jumlah itu adalah penumpang antarabangsa, katanya.

LGK juga menyaksikan pertumbuhan sebanyak 30 peratus dalam pergerakan trafik antarabangsa berbanding 2017.

Iklan

Beliau berkata demikian pada tiga acara berasingan yang berlangsung di LGK hari ini, iaitu pelancaran LITPF, majlis sambutan untuk penerbangan sulung Malindo Air dari Phuket, Thailand ke Langkawi dan pelancaran ‘Himpun”, pameran yang memperkenalkan produk terbaik usahawan tempatan.

Acara itu diadakan bersempena dengan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA‘19) di Langkawi, ia turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy dan Pengerusi MAHB, Tan Sri Datuk Zainun Ali.

Penambahan laluan Phuket-Langkawi yang baharu itu telah meningkatkan jumlah destinasi dari LGK kepada 18, tujuh daripadanya adalah destinasi antarabangsa.

Laluan Phuket-Langkawi baharu Malindo Air akan beroperasi tiga kali seminggu dan menawarkan peluang mereka yang bercuti melakukan lawatan ke pulau-pulau antara kedua-dua negara tersebut. Hubungan penerbangan itu memudahkan pelancong untuk terbang dari Phuket ke Langkawi dan meneruskan pengembaraan mereka menerokai bahagian lain di Laut Andaman.

Malindo Air telah membawa kira-kira setengah juta penumpang ke Langkawi sejak 2017.

Sementara itu, Pameran ‘Himpun’ di LGK merupakan kerjasama di antara MAHB dan Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC) yang bertujuan mempamerkan fesyen, kraftangan, makanan dan produk terbaik Malaysia kepada pengunjung antarabangsa.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada strategi komersial bermatlamat untuk meningkatkan profil runcit LGK.

LGK merupakan yang pertama lapangan terbang di bawah pengurusan MAHB untuk mendapat manfaat daripada strategi komersial itu.

Sementara itu, Loke dalam ucapannya memuji usaha MAHB dalam mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab pilihan di rantau ini.

"Malaysia sudah memiliki kekuatan sedia ada, antaranya adalah lokasi strategiknya di ASEAN, sambungan rangkaian yang mantap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kos operasi penerbangan yang rendah.

”Kami juga terletak dalam rantau Asia Pasifik dan menurut Persatuan Pelancongan Udara Antarabangsa (IATA), Malaysia dijangka menerima pertumbuhan penumpang antarabangsa (purata tahunan) sebanyak 4.6 peratus dari 2016 ke 2036, ketiga tertinggi selepas Afrika dan Timur Tengah,” katanya.

Bagi memantapkan kedudukan negara sebagai hab, ianya adalah penting untuk mempunyai jumlah penerbangan antarabangsa yang tinggi dengan destinasi antarabangsa yang banyak.

"Itu sebabnya kami perlu menarik lebih banyak syarikat penerbangan asing untuk beroperasi di Malaysia, bukan sahaja di KLIA tetapi juga di lain-lain lapangan terbang antarabangsa di Malaysia," katanya. -Bernama