MDSB sasar sejuta pelancong ke Sabak Bernam

Iklan
Mohamad Zahri (empat dari kanan) diiringi Azman (tiga dari kiri) memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan MDSB di Laman Mazmida Sungai Besar pada Khamis.

SABAK BERNAM - Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menyasarkan mampu menarik sejuta pelancong mengunjungi daerah itu pada tahun ini.

Iklan
Iklan

Yang Dipertuanya, Azman Dahlan berkata, terdapat peningkatan ketara pelancong luar melawat daerah itu terutama pada cuti umum berikutan pembukaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

"Kita sedang berusaha menggiatkan agro pelancongan di daerah ini lebih-lebih lagi berlaku pertambahan jumlah kenderaan yang singgah ke daerah Sabak Bernam," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan MDSB di Laman Mazmida Sungai Besar pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Setiausaha (Pengurusan) kerajaan Negeri Selangor, Mohamad Zahri Samingon.

Azman memberitahu, pembukaan semula Kelong Paradise Waterfront Resort yang menjadi destinasi pilihan pemancing dan keluarga untuk bercuti di tengah laut antara tarikan utama di daerah ini selain Pusat Konservasi Kelip-kelip Parit 16, Sungai Panjang dan restoran kapal terbang di Sekinchan.

Iklan

Bagaimanapun katanya, restoran kapal terbang di tengah sawah padi itu masih belum beroperasi pada masa ini.

"Restoran ini dibangunkan oleh pihak swasta yang bakal menjadi tarikan baharu ke Sekinchan," ujarnya.

Mengulas mengenai kejadian banjir kilat di beberapa tempat di Pekan Sungai Besar, Azman berkata, perkara itu berlaku disebabkan daerah Sabak Bernam berada di kawasan pesisir pantai.

"Kejadian fenomena air pasang besar perkara biasa lebih-lebih lagi jika bertembung dengan hujan lebat menyebabkan air laut melimpah ke darat," jelasnya.