Terminal Feri Kukup beroperasi semula

Iklan
Mohamad Fazli (empat, kiri) menyambut ketibaan penumpang feri dari Tanjung Balai Indonesia sempena hari pertama pembukaan semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup, pada Khamis.

PONTIAN - Terminal Feri Antarabangsa Kukup yang ditutup sejak Mei 2020 berikutan penutupan sempadan negara akibat penularan Covid-19 dibuka semula, pada Khamis.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrasuktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pengoperasian semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup merupakan titik permulaan kepada lebih banyak terminal feri akan dibuka.

Iklan
Iklan

"Dijangka terminal feri di Batu Pahat dan Muar beroperasi semula selepas ini. Selain itu, difahamkan Terminal Feri Puteri Harbour juga akan memulakan operasi semula pada minggu ini manakala terminal feri di Desaru dijangka memulakan operasinya tidak lama lagi sekali gus merancakkan kembali ekonomi negeri selepas pembukaan sempadan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyambut ketibaan lebih 100 penumpang feri dari Tanjung Balai Indonesia yang tiba kira-kira jam 11.30 pagi di Terminal Feri Antarabangsa Kukup, pada Khamis.

Hadir sama, Atase Pengangkutan Indonesia, Kapten Supendi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefriddin Atan.

Iklan

Menurut Mohamad Fazli, Terminal Feri Antarabangsa Kukup bakal beroperasi semula dengan lima slot sehari yang dikendalikan oleh operater feri sedia ada melibatkan perjalanan ke Tanjung Balai.

"Lima slot dari Kukup ke Tanjung Balai bermula pada jam 8.30 pagi diikuti 10.30 pagi, 12 tengah hari, 2.30 petang dan 5.30 petang.

Iklan

"Namun pada hari pertama pengoperasian semula, hanya satu slot laluan dan akan meningkat pada hari berikutnya kepada lima slot sehari. Tambang feri dikenakan tidak meningkat iaitu masih pada kadar sama itu RM145 sehala dan RM175 dua hala bagi orang dewasa," katanya.

Tambah beliau, kemudahan di Terminal Feri Antarabangsa Kukup bakal dinaiktaraf bagi memberi keselesaan kepada pengembara dan pelancong.

"Perkara itu dalam perancangan kerajaan negeri. Kemudahan di terminal bakal ditambah baik memandangkan ia antara laluan antarabangsa utama ke negara ini," katanya.