SELEPAS gagal di Filipina pada 2019, Johnathan Wong kembali merampas pingat emas acara 10 meter (m) air pistol lelaki temasya sukan dwitahunan itu, selepas mengungguli saingan akhir yang berlangsung di Pusat Latihan Sukan Hanoi di Hanoi, pada Khamis.
Turun dalam keadaan tenang dan fokus, Johnathan yang memenangi emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur berjaya mengatasi tekanan sorakan gemuruh tuan rumah, apabila kekal dalam ‘dunianya’ sendiri untuk mengumpul 238.6 mata keseluruhan.
Kehebatan bidikannya itu terutama di awal saingan, gagal ditandingi atlet Vietnam Cuong Tran Quoc apabila sekadar mengumpul 236.6 mata, untuk berpuas hati dengan perak, sementara gangsa menjadi milik Muhammad Iqbal Raia Prabowo dari Indonesia dengan 214.2 mata.
Kejayaan itu sekali gus mengubati kekecewaannya, selepas tidak berjaya meraih pingat pada edisi 2019 yang menyaksikan beliau menamatkan saingan di kedudukan keempat.
Pingat emas diraih Johnathan merupakan emas sulung kem menembak negara di Hanoi, sekali gus memastikan pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Cakap pasal prestasi hari ini, sebenarnya bila saya dapat mendahului dari awal dengan jarak yang jauh itu, bagi semangat dekat saya dan pada masa sama beri tekanan pada lawan sebab mereka nak kejar.
"Jadi itu adalah memberikan satu kelebihan kepada saya dan saya bersyukur dapat melakukan yang terbaik,” katanya kepada pemberita di sini.
Johnathan berkata pada awalnya, beliau berasa gugup menjelang saingan itu susulan prestasi tidak memberangsangkan dalam acara 50m pistol lelaki Selasa lalu.
Menurut beliau, tahap gementarnya sudah melepasi ‘siling’ (terlalu hebat).
"Memang daripada mula saya agak was-was dan takut, tapi saya cuma ingat apa jurulatih kata buat saja kerja, lantak apa jadi sebab matlamatnya adalah buat yang terbaik. Apabila sampai di penghujung saingan saya mula rasa seronok,” katanya.
Terdahulu, dua lagi wakil negara Abdul Hadi Abdul Malek dan Wan Muhammad Syafiq Wan Mustaza masing-masing gagal mara ke akhir, selepas terkandas di pusingan kelayakan. - Bernama