RAUB - Sebuah pasar raya di Pusat Perniagaan Putra Raub di sini diberi notis peringatan supaya melantik kontraktor berlesen bagi menguruskan sisa komersial dari premis berkenaan.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, notis tersebut dikeluarkan SWCorp daerah Raub ketika Operasi Semakan dan Penguatkuasaan Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal Komersial, Industri dan Institusi (CII) selepas pemeriksaan pada Selasa lalu.
Menurutnya, satu akuan pemeriksaan dan notis pengalihan di bawah Akta 672 serta pemakluman pelantikan kontraktor yang berdaftar dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan SWCorp dikeluarkan bagi memastikan sisa itu diuruskan dengan cara yang betul.
"Pemilik premis diberi tempoh selama 14 hari untuk melantik kontraktor berlesen bagi menguruskan sisa berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Tambah beliau, semua pemilik premis industri, komersial dan institusi di negeri ini di minta menguruskan sisa mereka dengan cara yang betul dan mengikut peraturan ditetapkan.
Menurutnya, peraturan supaya melantik kontraktor berlesen di bawah SWCorp penting bagi memastikan sisa yang dikutip dilupuskan di pusat pelupusan yang dibenarkan.
"Operasi seumpama itu dilaksanakan secara berterusan di negeri ini sebagai salah satu langkah pemutihan.
"Ketika ini tindakan lebih kepada peringatan dan amaran. Sekiranya pemilik premis gagal mematuhinya, tindakan boleh diambil di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672)," katanya.