IPOH - Mayat lelaki warga emas yang meninggal dunia ketika pendakian ke puncak Gunung Yong Belar pada Selasa berjaya dibawa turun menggunakan helikopter bomba.
Mangsa, Tang Sak Hong, 66, dibawa turun menggunakan helikopter jenis Agusta AW189 yang diterbangkan dari Padang Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Ulu Kinta di sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, mayat pendaki terbabit diambil pada ketinggian hampir 2,000 meter dari aras laut berhampiran Kem Kuali.
"Khidmat Unit Udara JBPM dihubungi untuk bantuan bagi membawa mayat mangsa keluar dari lokasi tersebut.
"Sebuah Helikopter diterbangkan pada jam 9.30 pagi bersama 11 anggota penyelamat dengan terus ke lokasi mangsa berada berdasarkan koordinat yang diberikan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Menurutnya, anggota penyelamat perlu berjalan kaki sejauh satu kilometer setelah turun di kawasan 'drop point' untuk mendapatkan mangsa.
"Tindakan menaikkan mangsa menggunakan teknik ‘winching’ segera dijalankan yang mana mengambil masa kira-kira dua jam.
"Penerbangan membawa turun mayat mangsa mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit sebelum mendarat di Padang Kem PGA kira-kira 1.30 petang," katanya.
Azmi berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan polis untuk dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Operasi disertai empat pegawai kanan JBPM Perak, tujuh anggota dari Pasukan Multi-Skill Team (MUST), dua malim gunung, lima anggota Unit Udara bomba dan pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun.