Mahkamah benarkan Najib, Nazifuddin tangguh prosiding kebankrapan

Iklan
Najib

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka kerana gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta sementara menunggu penyelesaian rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Najib dan Mohd Nazifuddin ketika dihubungi pemberita berkata, mahkamah membenarkan permohonan itu semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Ida Rahayu Sharif.

Iklan
Iklan

"Permohonan penangguhan prosiding kebankrapan itu dibuat bagi membolehkan rayuan kedua-dua anak guam saya berhubung penghakiman terus diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memerintahkan mereka membayar tunggakan cukai tersebut diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya dan menambah mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 4 Oktober ini.

Prosiding itu turut disertai Peguam Hasil Athari Faris Ammerry Hussein bagi pihak LHDN.

Iklan

Kerajaan, melalui LHDN, memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Februari 2021 terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin selaku penghutang.

Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Iklan

Mohd Nazifuddin pula perlu membayar RM37.6 juta dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 6 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM1.1 juta serta kos RM10,000 dan setakat 4 Februari 2021 jumlah itu menjadi RM38,758,370.93.

Dua Mahkamah Tinggi di sini, telah membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi memperoleh semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 September 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu, namun membenarkan permohonan mereka untuk menangguhkan perintah penghakiman terus berkenaan sementara menunggu pendengaran permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Pada 10 Mei lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran merayu kepada Najib dan Mohd Nazifuddin berhubung penghakiman terus diperoleh LHDN dalam kes tunggakan cukai tersebut. - Bernama