RUU Sumbangan Politik akan dibentang pada mesyuarat kabinet

Iklan
Ismail Sabri. Foto Bernama

SHAH ALAM - Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju dengan cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, skop dasar bagi RUU baharu berkaitan pengawalseliaan sumbangan politik itu dipersetujui untuk dibentangkan di mesyuarat Jemaah Menteri.

Iklan
Iklan

Jelasnya, ia perlu dibawa untuk perbincangan dengan ahli kabinet sebelum mengadakan sesi libat urus dengan parti-parti politik.

"RUU ini penting kerana sehingga kini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik dan ia dapat mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik yang memberi impak negatif kepada imej negara dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Selain itu, menurut Ismail Sabri, mesyuarat turut memutuskan untuk memperkenalkan Pelan tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) di semua agensi kerajaan termasuk badan berkanun kerajaan.

Jelasnya, MyGovernance bertujuan meningkat dan memperkukuh keupayaan penyampaian perkhidmatan awam ke arah mencapai visi nasional serta menangani isu-isu kelemahan tadbir urus aspek kerajaan termasuk badan berkanun.

Iklan

"Pelan ini adalah berdasarkan empat prinsip tadbir urus baik iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan, dan keberkesanan. Satu jawatankuasa akan diwujudkan bagi pembangunan MyGovernance ini.

"Selaras dengan pembangunan, pengukuran tahap kualiti tadbir urus sesebuah institusi kerajaan akan dibuat melalui Malaysian Governance Index (MGI),” jelasnya.

Menurut beliau, mesyuarat turut bersetuju dengan pembangunan MyGovernance dan mengesyorkan supaya kajian dan sesi libat urus dilaksanakan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

"Ia perlu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk dibincangkan dalam mesyuarat JKKMAR akan datang,” katanya.

Dalam masa sama, Ismail Sabri berkata, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) akan dijadikan sebagai agensi berpusat bagi pengurusan harta disita dan dilucut hak untuk membanteras jenayah kewangan dan mengekang ketirisan hasil kerajaan.

Jelasnya, keperluan menjadikan NFCC sebagai sebuah agensi berpusat adalah amat penting dan perlu disegerakan.

"Sebanyak 26 daripada 53 akta berkaitan dengan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut perlu diberi keutamaan untuk dipinda bagi melaksanakan dasar ini.

"Dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak ini akan membolehkan agensi penguatkuasa lebih fokus kepada pelaksanaan siasatan bagi kes-kes jenayah khususnya jenayah kewangan,” katanya.

Menurut beliau, mesyuarat itu turut membincangkan untuk melakukan kajian yang lebih mendalam terhadap pengasingan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara

Jelasnya, ini perlu dilakukan kerana ianya melibatkan perlembagaan, undang-undang dan kewangan negara.

"Kerajaan sentiasa komited untuk menambah baik tadbir urus dan integriti dalam usaha memerangi rasuah di negara ini,” katanya.