Budak trauma digigit anjing liar

Iklan
Chai Yaan menunjukkan kecederaan pada kaki Kristyne.

SEREMBAN - Seorang kanak-kanak perempuan trauma selepas digigit anjing liar dalam satu kejadian di kediamannya dekat Taman Makmur di sini, dua minggu lalu.

Kristyne Ford, 7, dilaporkan terpaksa menjalani pembedahan di bahagian kaki kanan bagi mengelakkan jangkitan kesan gigitan anjing liar itu.

Iklan
Iklan

Ibu saudaranya, Teen Chai Yaan, 30, berkata, mangsa terpaksa dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, selama lima hari akibat kejadian tersebut.

"Kejadian pada 15 Mac lalu itu berlaku sekitar jam 5.30 petang. Ketika itu, Kristyne berada di hadapan rumah dan dia didatangi anjing liar yang tiba-tiba menggigit kaki kanannya sehingga berdarah.

Iklan

"Kesan gigitan tersebut sangat dalam dan mujur Kristyne segera dibawa ke Hospital. Dia kini semakin pulih bagaimanapun masih mendapatkan rawatan susulan di hospital sama,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat DUN Lobak, semalam.

Chai Yaan berkata, pihaknya sangat bimbang dengan kejadian tersebut dan tidak mahu ia berulang sehingga menyebabkan kecederaan kepada orang lain.

Iklan

"Jadi kami sangat berharap agar kerajaan dan juga pihak yang bertanggungjawab seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat mengambil tindakan sewajarnya agar isu anjing liar dapat ditangani segera,” katanya.

Sementara itu, ADUN Lobak, Chew Seh Yong berkata, setakat Mei tahun lalu hingga kini terdapat 10 kes melibatkan gangguan anjing liar sekitar 48 taman di kawasan DUN Lobak.

"Saya sudah panjangkan perkara ini kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Bagaimanapun, kerajaan negeri telah pun mengambil langkah untuk menangani masalah ini dengan menyediakan lokasi penempatan anjing liar dan terbiar di Kampung Kuala Sawah, Rantau di sini.

"Namun penempatan ini masih belum siap sepenuhnya dan hal ini saya dah maklumkan kepada Exco bertanggungjawab. Penyelesaian secara alternatif juga akan dibincangkan agar kes ini tidak menjadi semakin serius pada masa akan datang,” katanya.