NS belum buat ketetapan laksana caj penggunaan beg plastik

Iklan
Kok Seong (tiga dari kanan) menampal barcode pada plastik sampah barangan kitar semula sebagai gimik Pelancaran Program Persatuan Pengurusan Sisa Malaysia (WMAM) Eco Youth Challenge (WEYC) 2022.

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan masih belum menetapkan untuk melaksanakan sepenuhnya caj pencemaran plastik dengan nilai minimum 20 sen bagi setiap helai beg plastik melalui Kempen Tanpa Beg Plastik seperti mana dilaksanakan di beberapa negeri.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong berkata, buat masa ini hanya pasar raya dan kedai runcit di kawasan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) melaksanakan kempen itu.

Iklan
Iklan

"Tapi kita belum pun buat ketetapan untuk mengutip 20 sen bagi setiap beg plastik yang digunakan seperti mana dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

"Bagi saya apa yang penting ketika ini bukanlah caj 20 sen dikenakan sebaliknya menggalakkan orang ramai untuk menggunakan beg kitar semula ketika membeli-belah," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Persatuan Pengurusan Sisa Malaysia (WMAM) Eco Youth Challenge (WEYC) 2022 dengan kerjasama SWM Environment dan Coca Cola Malaysia di sini pada Khamis.

Iklan

Kok Seong berkata, kemungkinan agak sukar bagi sesetengah orang kerana sudah terbiasa menerima beg plastik dan mereka lebih sanggup membayar 20 sen.

Menurutnya, sejak tahun lalu kerajaan negeri telah menguar-uarkan kempen berkenaan tetapi agak mengecewakan kerana kurang sambutan.

Iklan

"Saya rasa masyarakat kita masih memerlukan masa dan sebab itu kita mempertingkatkan kempen dan menggalakkan masyarakat amalkan kitar semula," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan semua kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan caj pencemaran plastik dengan nilai minimum 20 sen bagi setiap helai beg plastik melalui Kempen Tanpa Beg Plastik seperti yang telah dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kementeriannya telah mendapat mandat daripada mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan ke-76 untuk mengenakan caj pencemaran itu.

Sementara itu berkenaan program diadakan, Pengerusi WMAM, Ho De Long berkata, WEYC menyasarkan peningkatan kutipan sisa kitar semula yang dikumpulkan menerusi program itu sebanyak 116.2 tan atau 12 peratus berbanding 103.75 tan pada tahun 2018.

Jelasnya, program yang dianjurkan bersama dengan SWM Environment dan Coca Cola Malaysia melalui Yayasan Coca Cola itu memfokuskan isu plastik yang melibatkan 150 buah sekolah di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

"Kita memilih tema plastik kali ini kerana ia paling banyak digunakan dalam kehidupan seharian dan bahan itu juga paling banyak menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

"Kita telah kerangka aktiviti promosi dan jelajah pendidikan selama dua bulan di sekolah yang terlibat bagi memberikan maklumat tepat dengan merangkumi kepentingan sistem ekologi, aktiviti 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula), sisa marin dan pengurusan pelepasan karbon," katanya.