KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) Sabah secara dasarnya menerima pembentukan jawatankuasa kerjasama solidariti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN.
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya positif dengan pembentukan itu demi mengukuhkan kerajaan negeri serta kepentingan rakyat Sabah.
"Setakat ini belum ada (pemakluman daripada GRS), tetapi secara prinsipalnya kita memang mengalu-alukan sebab kita memikirkan kepentingan rakyat Sabah dan pembangunan negeri Sabah itu.
"Sabah sudah lama ketinggalan dari segi pembangunan dari segi ekonomi dan sebagainya, termasuk peluang pekerjaan.
"Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk kita perkukuhkan kerajaan untuk memastikan rakyat Sabah juga berhak hidup lebih baik berbanding hari ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Jamuan Aidilfitri BN Sabah di sini pada Khamis.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor pada 9 Mei lalu memaklumkan satu jawatankuasa kerjasama solidariti GRS dan BN dibentuk bertujuan mengelak daripada berlaku pertembungan kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15).
Ketika diminta mengulas mengenai beberapa kerusi tradisi BN yang kini turut menjadi rebutan untuk PRU15, Bung Moktar berkata, perkara itu akan dibincangkan nanti.
"Nanti kita bincang sebab memang adat berparti, hampir semua mahu bertanding cuma kita akan tengok keadaannya, sampai masa kita akan putuskan," katanya.