MGA beri tumpuan pada Sukan Asia

Iklan
Mohd Anwar

PERSATUAN Golf Malaysia (MGA) tidak mahu terus terleka dibuai dengan kejayaan meraih dua pingat emas di temasya Sukan Sea Hanoi 2021.

Sebaliknya Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor akan memastikan pihaknya terus bekerja keras dalam mempersiapkan pasukan terbaik bagi menghadapi Sukan Asia kelak.

Iklan
Iklan

"Sasaran kami selepas ini adalah di Sukan Asia yang terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 di China.

"Kami akan menggunakan masa yang terluang ini untuk melatih pemain yang sudah dikenal pasti beraksi di temasya berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Pada Rabu, kemarau 21 tahun negara bagi meraih pingat emas dalam acara golf berpasukan lelaki berakhir apabila mengalahkan Thailand 2-1 pada aksi final di Sukan Sea Hanoi.

Walaupun Thailand diletakkan sebagai pilihan untuk memenangi acara berkenaan, pasukan golf lelaki negara tidak goyah dan mempamerkan aksi mantap untuk memastikan pingat emas milik Malaysia.

Iklan

Sebelum itu, pemain golf amatur negara, Ervin Chang menyumbang emas individu selepas menang dalam aksi playoff tiga lubang menentang pemain Indonesia, Amadeus Christian Susanto.

Dalam masa yang sama, Anwar turut memuji pasukan golf negara yang bertanding di temasya itu meskipun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran termasuklah pandemik Covid-19.

"Di sebalik semua rintangan berkenaan MGA berjaya berpegang teguh dan menyumbang empat pingat secara keseluruhan termasuk dua emas yang mengejutkan ini," katanya.

"Tahniah kepada pemain yang mencatatkan kejayaan besar di Sukan Sea begitu juga dengan pengurus pasukan, Teoh Piek Kee dan pembantunya, Shairul Erwin Samsudin di atas sumbangan serta kepimpinan mereka," katanya.

Sementara itu, Ervin yang berjaya meraih dua emas dalam acara perseorangan dan berpasukan lelaki, menyifatkan kejayaannya itu sebagai pelengkap untuk menamatkan karier armaturnya.

"Ini merupakan penampilan terakhir saya di temasya Sukan Sea kerana saya bercadang untuk menjadi pemain profesional.

"Memenangi emas buat kali pertama untuk Malaysia adalah di luar jangkaan saya dan kejayaan itu sangat manis.

"Terima kasih kepada ibu bapa saya, MGA, MSN (Majlis Sukan Negara), MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan penaja kerana sentiasa menyokong impian saya yang membolehkan saya berada di sini sekarang. Emas ini untuk semua rakyat Malaysia," katanya.