'Jangan ambil mudah jentera serangan JDT II'

Iklan
Para pemain TFC II diingatkan agar lebih fokus ketika berdepan JDT ll di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam Jumaat. Foto FB TFC II

PENGENDALI Terengganu FC ll (TFC ll), Badrul Afzan Razali mahu anak buahnya melupakan kekalahan 0-1 kepada Kelantan FC sebaliknya terus fokus untuk berdepan Johor Darul Ta'zim ll (JDT ll) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam esok.

Menurutnya, pemain perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi mengutip tiga mata berharga sekali gus memperbaiki kedudukan The Turtles di persada Liga Premier.

Iklan
Iklan

"Memang agak kecewa kerana kita gagal mengutip sebarang mata selepas tewas tipis kepada Kelantan FC tempoh hari.

"Untuk perlawanan dengan JDT ll, saya mahu pemain lebih fokus dan gunakan peluang ini untuk memberi aksi terbaik demi kemenangan malam esok," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Gong Badak, pada Rabu.

Iklan

Bagi memastikan momentum kemenangan dapat dicapai, Badrul Afzan turut mengingatkan para pemain agar lebih waspada dengan ancaman di bahagian serangan yang menjadi kekuatan skuad bimbingan Mariano Echeverria.

Badrul Afzan berkata, jentera penggempur lawan yang dibarisi pemain import berkualiti seperti Fernando Rodriguez perlu diawasi dengan ketat sekiranya tidak mahu gawang mereka dibolosi.

Iklan

"Pada masa sama, TFC ll juga perlu menajamkan jentera serangan yang diketuai Jordan Mintah kerana ia antara punca kami tewas kepada Kelantan FC tempoh hari," katanya.

Dalam pada itu, The Turtles juga katanya akan menggunakan khidmat enam pemain tempatan daripada pasukan 'abang', Terengganu FC (TFC) untuk mengisi kekosongan di beberapa posisi.

"Alhamdulillah, kita dah dapat lampu hijau daripada Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain untuk turunkan Faiz Nasir, Zuasyraf Zulkiefli, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob, Shahrul Nizam Ros Hasni, Azinullah Alias dan Hairiey Hakim Mamat untuk membantu malam esok," katanya. - Bernama