KINABATANGAN - Seorang pekerja ladang ditemui maut dalam keadaan mengerikan apabila separuh badannya berada di dalam mulut buaya manakala separuh lagi hilang dalam kejadian di Ladang Lamag, Sungai Pin, di sini, pada Khamis.
Mangsa yang dikenali sebagai Abdul Kadir itu ditemui oleh majikan serta rakan sekerjanya di kawasan jambatan di sungai berkenaan pada tengah hari Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.42 petang berhubung kejadian itu.
"Menurut laporan, mangsa disedari hilang pagi tadi selepas tidak hadir di ladang untuk bekerja. Rakan sekerja dan majikan kemudian mencari mangsa di kawasan ladang.
"Tidak lama kemudian, mayat mangsa ditemui selepas timbul di kawasan jambatan di mana badannya masih berada di dalam mulut buaya berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata, seramai empat anggota yang berada di lokasi bertindak cuba membantu mengeluarkan badan mangsa dari mulut haiwan berkenaan.
"Penduduk tidak dapat membantu mengeluarkan mangsa dari mulut buaya dan anggota kita kemudiannya bertindak 'mengganggu' buaya berkenaan supaya badan mangsa dapat dilepaskan dari mulutnya.
"Akhirnya, anggota badan mangsa berjaya dilepaskan dan hanya bahagian kepala sehingga badan ditemui manakala separuh lagi hilang dipercayai dibaham buaya," katanya.
Nurul Azlan berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 5.10 petang.