LPT3: Pengkalan Kubor bakal berkembang

Iklan
KBC Pengkalan Kubor dijangka akan menerima kesan positif sekiranya LPT3 siap dibina nanti.

PENGKALAN KUBOR- Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) itu akan mewujudkan sistem perhubungan yang baik di Pantai Timur.

Sebagai daerah paling hujung dan bersempadan dengan negara Thailand, ia memberi impak besar kepada kemasukan pengunjung luar di daerah ini.

Iklan
Iklan

Tentunya Kawasan Bebas Cukai (KBC) Pengkalan Kubor semakin menjadi tumpuan ‘orang luar’ berikutan jarak perjalanan yang lebih dekat sekaligus merancakkan sektor pelancongan di sini.

Peniaga, Mohd Fazlizam Razali, 35, berkata, dia berharap dengan siapnya LPT3 itu dapat memajukan kawasan perniagaan di KBC Pengkalan Kubor yang semakin hari semakin suram.

Iklan
Mohd Fazlizam

"Saya yakin kedatangan pengunjung ke destinasi pelancong di sini sebagai syurga membeli belah akan meningkat.

"Lagi pun di KBC Pengkalan Kubor ini hanya meriah dengan kunjungan pelancong setiap kali musim cuti sekolah dan cuti umum.

Iklan

"Faktor jarak perjalanan mengikut jalan persekutuan dan negeri terutamanya bagi mereka di kawasan pantai barat mengehadkan keinginan mereka,” katanya.

Menurutnya, adanya lebuh raya ini tentunya menjadi tarikan kepada orang luar Kelantan untuk berkunjung ke negeri ini.

"Apabila ada lebuh raya, jarak masa untuk sampai ke Kelantan lebih cepat. Saya berharap pembinaan LPT3 dapat disiapkan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KBC Pengkalan Kubor, Halim Husain berkata, pekan Pengkalan Kubor dijangka akan pesat membangun apabila adanya lebuh raya itu.

Tempias ekonomi dan pembangunan hasil daripada pembinaan LPT3 bukan hanya untuk golongan peniaga sahaja tetapi keseluruhan penduduk di Tumpat dan kawasan sekitarnya.

Pembinaan LPT3 juga akan merancakkan ekonomi antara Malaysia dan Selatan Thailand.

"Kalau nak diikutkan pembinaan LPT3 ini bukan beri untung kepada orang berniaga sahaja tapi banyak golongan lagi dapat rasa nikmatnya, seperti peluang pekerjaan, sektor hartanah dan juga kemudahan lain,” katanya.

Jelas beliau, dengan siapnya LPT3 nanti, ia akan memberi impak besar kepada daerah ini dan juga perkembangan ekonomi dua negara iaitu Malaysia-Thailand melalui pelan membina jambatan kedua-dua negara.

‘Sebabnya di sini juga akan dibina jambatan menghubungkan Pengkalan Kubor-Takbai, Thailand.

"Walaupun pembinaannya bukan dalam masa terdekat tetapi terbinanya LPT3 itu menarik pelancong kerana di sini adalah pintu masuk dua negara,” katanya.

Menurutnya, namun yang dibimbangkan apabila kawasan ini pesat membangun tetapi KBC Pengkalan Kubor terpinggir.

"Terpinggir jika pihak berkuasa tempatan (PBT) wujudkan kiosk-kiosk perniagaan lain di lokasi strategik berdekatan laluan lebuh raya itu atau pun jambatan tersebut,” katanya.