SHAH ALAM - Selepas dua tahun tidak dapat menonton perlawanan bola sepak di kedai mamak, rasa rindu untuk melakukan aktiviti tersebut akhirnya terubat.
Sekitar 300 orang penonton hadir ke Restoran Hakim, Seksyen 7, di sini untuk menonton perlawanan separuh akhir Sukan SEA 2022 di antara pasukan Harimau Muda dengan Vietnam menerusi program Jom Tengok Bola! Uniti Bersama Harimau Muda.
Penonton tiba di restoran tersebut sekitar jam 7 petang yang mana sebahagian daripada mereka turut memakai jersi pasukan bola sepak kebangsaan sebagai tanda sokongan terhadap kumpulan tersebut.
Selain menonton di skrin televisyen, pihak restoran turut membuka ruang makan di luar premis dan memancarkan perlawanan secara langsung itu ke atas dua helai layar putih.
Kemeriahan menonton perlawanan bola sepak di restoran tersebut turut dapat dirasai menerusi sorakan dan perilaku penuh keterujaan sepanjang permainan berlangsung.
Salah seorang penonton, Sugumaran Muniandy, 52, berasa teruja dapat kembali menonton perlawanan bola sepak secara beramai-ramai di restoran berkenaan selepas dua tahun.
"Selepas dua tahun ini tidak dapat menonton perlawanan bola sepak akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita tidak pernah duduk begini (beramai-ramai).
"Jadi ini pertama kali saya duduk di sini, agak gembira dapat berkumpul bersama kawan-kawan," katanya yang bekerja sebagai kerani.
Bagi Muhammad Akmal Basyir Laynin, 22, debaran menonton perlawanan bola sepak secara beramai-ramai di restoran mamak lebih terasa berbanding hanya melihat di rumah atau pada skrin telefon pintar.
Dia yang juga seorang mahasiswa di sebuah universiti tempatan juga lebih gemar menonton perlawanan tersebut di luar restoran berbanding di dalam premis tersebut.
"Kalau untuk orang yang suka tonton perlawanan bola sepak ini rasa seronoklah (menonton di kedai mamak) kerana selalunya tonton di rumah dan telefon pintar sahaja.
"Kalau tengok di luar (restoran) lebih terasa (kemeriahan)," katanya.
Program yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Astro Awani itu turut dihadiri oleh menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Turut hadir ke program berkenaan di sini ialah Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang; pemain pasukan Petaling Jaya City, Mahudi Jasuli; dan penyanyi legenda tanahair, Datuk Jamaludin Elias, atau lebih dikenali sebagai Nash.