Munasabah tempoh tiga tahun pulihkan kewangan

Iklan
AMIR HUSSIN, PROF MADYA AHMED RAZMAN

SHAH ALAM - Tekad kerajaan untuk memulihkan masalah kewangan negara dalam tempoh tiga tahun dilihat munasabah.

Penganalisis ekonomi, Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, ia boleh berlaku namun memerlukan masa dan tidak berlaku secara automatik.

Iklan
Iklan

"Ia juga satu saranan baik dan kita harus merancang ke arah masa depan itu (pemulihan kawangan). Jika berhutang, perlu buat perancangan untuk selesaikannya. Jika tidak dirancang, nampak kerajaan tidak tahu untuk selesaikannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin masalah pentadbiran dan kewangan negara yang ditinggalkan kerajaan terdahulu akan dapat dipulihkan dalam tempoh tiga tahun.

Iklan

Beliau berkata, kerajaan PH telah menyusun pelbagai perancangan yang diyakini boleh mengatasi kedua-dua isu tersebut, justeru penjawat awam harus bersabar serta bekerjasama dengan kerajaan semasa untuk memulihkan semula keadaan negara.

Pada masa yang sama Dr Mahathir juga menyarankan rakyat agar ‘ikat perut’ sedikit supaya dapat mengurangkan perbelanjaan dan bayar hutang.

Iklan

Berdasarkan saranan itu, Amir berkata, saranan ‘ikat perut’ adalah wajar dari seorang pemimpin.

"Ikat perut tak bermakna akan menambah susah pada diri. Ikat perut untuk jimat cermat itu patut.

"Hakikat jika berhajat selesaikan hutang-piutang harus berjimat cermat untuk beberapa tempoh agar hutang dapat diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, tekad kerajaan untuk menyelesaikan masalah hutang negara harus dipuji.

"Kerana kita sedia maklum jika hutang tidak dikawal, kita bakal berdepan masalah yang serius seperti yang dialami oleh kerajaan Greece, Venezuela dan Zimbabwe.

"Kita juga boleh kehilangan aset strategik seperti Sri Lanka jika kita tidak mampu mengurus hutang. Negara mampu menyelesaikan masalah hutang ini dengan menambahkan pendapatan melalui pelbagai sektor industri baharu seperti ekonomi digital kerana pendapatan tambahan mampu mengurangkan komitmen hutang.

"Di samping itu, hutang baru tidak diwujudkan dengan memastikan sebarang perbelanjaan dan pelaburan dilakukan melalui kerjasama ekuiti bersama pihak swasta,” katanya.

Tambahnya, saranan Dr Mahathir supaya rakyat ‘ikat perut’ sebenarnya akan memberi kesan positif kepada rakyat sendiri dan juga kerajaan.

"Maksud ‘ikat perut’ di sini ialah tidak berhutang semata-mata untuk mengejar gaya hidup selesa. Jika rakyat tidak berhutang, mereka akan memperolehi pendapatan boleh guna yang lebih tinggi, yang membolehkan mereka menaiktaraf isi rumah, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

"Industri hutang sebenarnya yang menyebabkan kos sara hidup meningkat dan dengan tidak berhutang, masalah kenaikan harga barang akan dapat diatasi. Yang penting ialah kempen berterusan memupuk budaya tidak berhutang di kalangan rakyat dan menyediakan alternatif pembiayaan kepada perniagaan selain daripada pinjaman bank,” katanya.