Teruja bertemu keluarga di Malaysia

Iklan
Gambar kecil dari kiri: Umi Daili, Deni

PONTIAN - Pengoperasian semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup disambut penuh kesyukuran dan kegembiraan buat rakyat Indonesia terutama yang tinggal di Tanjung Balai Kerimun.

Berita gembira itu memberi kelegaan buat mereka yang mempunyai keluarga dan sanak saudara di negara ini selepas lebih dua tahun terminal feri tidak beroperasi disebabkan sempadan ditutup susulan penularan Covid-19.

Iklan
Iklan

Sarah Bedol, 26, berkata, pengoperasian semula terminal feri di Kukup membolehkan dia bertemu dengan datuknya, Khamis Rasir, 60, di Penerok, Pontian.

Sarah (tengah) disambut ibu saudaranya Badariah (kanan) sebaik tiba di Terminal Feri Antarabangsa Kukup yang mula beroperasi pada Khamis.

Dia yang tinggal di Tanjung Balai, Indonesia sudah lebih dua tahun tidak bertemu datuknya.

Iklan

"Dua hari lalu, saya beli tiket feri untuk balik kampung di Pontian. Keluarga dan sanak-saudara sudah diberitahu saya akan menaiki feri pertama dari Tanjung Balai.

"Ibu saudara, Badariah Ahmad, 61 datang menjemput saya di terminal. Rasa sebak bila dapat bertemu semula," katanya.

Iklan

Sementara itu, Umi Laili Rabani, 61, berterima kasih kepada kedua-dua negara atas pengoperasian semula terminal feri di Kukup, seterusnya membolehkan dia bertemu ibunya di Batang Kali, Selangor.

"Sudah lebih dua tahun saya tidak bertemu ibu, Faridah Hasan, 83, yang dijaga adik. Sepanjang tempoh itu, kami hanya berhubung menerusi panggilan telefon dan video," katanya yang tinggal di Tanjung Batu Pulau Kerimun.

Deni Wardan, 28, pula bersyukur kerana dapat menjadi antara kumpulan penumpang pertama yang tiba dari Tanjung Balai Indonesia pada hari pertama terminal di Kukup beroperasi semula.

"Saya hendak ke rumah saudara-mara di Pontian. Cukup gembira kerana dapat ziarah mereka pada bulan Syawal selepas tidak bertemu lebih dua tahun," katanya.