SHAH ALAM- Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang diminta menghentikan kenyataan tidak bertanggungjawab yang bersifat anarkis dan dilihat sebagai satu sabotaj kepada ekonomi negara.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Husin Akhtar Husin berkata, setelah berpuluh tahun menjadi ahli Parlimen, Kit Siang pasti sedar bahawa kenyataan yang dibuat bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat negara ini tetapi juga kepada pelabur asing.
"Hantaran media sosial pemimpin DAP, YB Lim Kit Siang, yang bertanya 'apakah rumah Perdana Menteri dan menteri akan dibakar oleh rakyat yang marah seperti mana di Sri Lanka' merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab, bersifat anarkis dan satu sabotaj kepada ekonomi negara.
"Ekonomi Malaysia hari ini tidak sama langsung dengan keadaan di Sri Lanka. Sri Lanka berhadapan krisis inflasi yang mendadak sehingga rakyat tiada wang untuk membeli barang keperluan asas.
"Di Sri Lanka, harga barangan keperluan asas mula meningkat pada akhir 2021 dan kini orang ramai membayar sehingga 30 peratus lebih berbanding setahun yang lalu.
"Ramai yang terpaksa berlapar, bahan api tidak dapat memenuhi permintaan, bekalan elektrik kerap terputus dan ubat juga tidak mencukupi. Apakah semua ini mencerminkan keadaan Malaysia hari ini? Ia tidak sama sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelas Nazir Husin, majoriti rakyat negara ini masih mempunyai makanan di atas meja setiap hari, stesen minyak pula masih berjalan seperti biasa, jalan raya masih sesak, bekalan elektrik kekal stabil dan rumah-rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri terus berjalan dengan meriah.
Tambahnya, memang benar negara sekarang berdepan dengan inflasi namun ia turut dihadapi oleh hampir semua negara di dunia.
"Dalam keadaan ini, sistem pentadbiran kita masih tetap utuh di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malah keperluan majoriti rakyat tidak pernah terancam.
"Jika kita kekurangan bekalan makanan tertentu, ia bukan kerana rakyat tidak mampu membeli namun kerana negara yang mengeksport mengambil tindakan mengurangkan eksport akibat krisis dalam negara mereka.
"Tidak seperti rakyat Sri Lanka yang kelaparan, rakyat Malaysia hanya berhadapan terpaksa memilih bahan makanan lain sebagai pilihan," ujar beliau.
Justeru, beliau berharap sebagai wakil rakyat veteran, Lim Kit Siang memadam hantaran tersebut dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia.
"Adalah sangat menyedihkan dalam keadaan negara berusaha untuk pulih dari kemelut ekonomi dan pandemik Covid-19, Kit Siang memberi gambaran tidak benar mengenai keadaan negara kepada rakyat dan pelabur luar negara," katanya.