PEKAN - Seorang remaja lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer (KM) 4 Jalan Pekan-Kuantan di sini pada Khamis.
Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan motosikal jenis Yamaha 135LC.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin memberitahu, mangsa, Muhammad Hafiz Imran Juraimi@Syukri,19 beralamat Taman Rosa Tanjung Agas, Pekan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 8.35 malam itu, siasatan awal mendapati pemandu kereta dalam perjalanan dari arah Kuantan hendak menghala semula ke arah Kuantan dengan membuat pusingan U di laluan keluar dari Istana Mahligai Mahkota Pekan.
"Setibanya di tempat kejadian, setelah membuat pusingan U, tiba-tiba kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dilanggar oleh motosikal yang datang dari arah Pekan menghala ke Kuantan.
"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang kereta itu tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu kereta yang memandu secara melulu dan berbahaya dengan membuat pusingan U di kawasan yang tidak dibenarkan.
"Pemandu kereta telah ditahan ditahan untuk siasatan lanjut dan kenderaan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan," jelasnya.
Tambahnya, hasil pemeriksaan kereta itu memiliki satu saman pandu laju.
"Bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian Covid-19 diperoleh. Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.