KUALA LUMPUR - Individu yang terlibat dengan sindiket pemerdagangan bayi perlu dikenakan hukuman lebih berat bagi memastikan jenayah itu dapat dibendung sebaiknya.
Pakar Motivasi dan Kaunselor, Hushim Salleh berkata, semua agensi penguatkuasaan perlu bertindak tegas dan masyarakat juga perlu menganggap aktiviti berkenaan tidak betul dan wajar ditentang.
Menurutnya, sindiket sebegitu sudah lama wujud malah laporan Sinar Harian sebelum ini juga melaporkan polis mempercayai sindiket berkenaan adalah sindiket sama yang pernah ditangkap sebelum ini.
"Ramai yang jumpa saya, pasangan yang dah berkahwin lapan tahun, 10 tahun tapi tiada anak. Sekarang ramai pasangan tiada anak, tidak tahu kenapa. Sebab pemakanan ke, sebab stress ke tapi kebanyakannya sebab stress.
"Bila kahwin dan tiada anak, lama-lama akan berlaku konflik dalam rumah tangga sebab mak mertua, pak mertua dan ipar duai akan tanya (bila nak dapat anak?). Ia menyebabkan pasangan itu stress dan akhirnya mereka bergaduh.
"Jadi mereka nak anak dan proses nak ambil anak dengan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) susah sebenarnya. Jadi, mereka akan pergi buat cara lain, buat cara mudah (beli anak melalui sindiket),” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, beliau berpendapat budaya rasuah perlu dihapuskan secara total di Malaysia dan sekiranya ia berjaya direalisasikan, banyak perkara dapat diselesaikan, termasuklah kes melibatkan sindiket penjualan bayi.
"Saya banyak buat kes, orang jual dadah misalnya, bersepah. Sebabnya, penguatkuasaan tiada, rasuah berleluasa. Pegawai kita yang rasuah ini tangkap dan masukkan ke dalam (penjara), tiada pegawai pun tidak mengapa.
"Kita ini bila berlaku baru bertindak, kalau tidak senyap saja. Hapuskan rasuah kalau kita betul-betul nak jadi negara berintegriti. Hapuskan rasuah, banyak perkara boleh selesai,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sinar Harian bongkar sindiket jual bayi
Kelmarin, Sinar Harian membongkar kegiatan pemerdagangan bayi yang kembali aktif apabila menjadikan rumah-rumah jagaan gadis terlanjur sebagai lubuk mendapatkan ‘bekalan’ bayi untuk dijual.
Pendedahan itu turut mendapat respons Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh yang memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat pemeriksaan terhadap rumah transit yang didakwa terlibat dalam sindiket jual beli bayi.
Menurutnya, JKM mengenalpasti lokasi rumah terbabit dan membuat pemeriksaan mengejut susulan daripada laporan berkenaan.
"Pagi tadi (semalam), JKM telah pun menjalankan pemeriksaan mengejut sejurus membaca laporan Sinar Harian.
"Buat masa ini kita sedang menyiasat secara terperinci kes sindiket pemerdagangan bayi. Kita akan siasat sama ada rumah transit tersebut mempunyai lesen atau pun tidak,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.