ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menghargai keprihatinan kerajaan yang bersetuju menyalurkan bantuan RM1,200 sepanjang dua musim keseluruhan tanaman padi kepada golongan pesawah.
Cawangan Komunikasi Korporat MADA dalam satu kenyataan berkata, semangat 'Keluarga Malaysia' dan tindakan kerajaan yang menyelami gerak nadi petani dengan bantuan ini secara tidak langsung dapat dapat meringankan beban pesawah sementara menunggu hasil tuaian mereka.
Menurutnya, bantuan berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan 'Keluarga Malaysia' dalam mentransformasikan sektor pertanian supaya menjadi sektor yang moden dan dinamik.
"Keprihatinan kerajaan juga mampu menjadikan negara lebih kompetitif sebagai pengeluar utama makanan sekali gus menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi negara.
"Menjadi harapan Mada agar dapat bersama-sama kerajaan 'Keluarga Malaysia' untuk terus memacu permodenan sektor pertanian dalam meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan serta menjana pendapatan lebih tinggi dan menarik lebih ramai generasi muda untuk terlibat dalam sektor ini," katanya pada Jumaat.
Di Kawasan Muda, terdapat seramai 57,635 orang peladang mengusahakan sawah seluas 100,658 hektar di dalam pentadbiran 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Mada.
Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan berjumlah RM1,200 kepada golongan pesawah.
Keputusan itu diputuskan selepas mengadakan perbincangan bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.