Ahli perniagaan kemuka representasi kes lucut hak wang

Iklan
Alvin Goh mengemukakan representasi berhubung permohonan SPRM untuk melucut hak wangnya serta wang milik dua syarikatnya di Mahkamah tinggi. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat diberitahu ahli perniagaan Alvin Goh Leong Yeong telah mengemukakan representasi berhubung permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak wangnya berjumlah RM60,232.01 serta wang milik dua syarikatnya.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) SPRM Ahmad Akram Gharib berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) memerlukan masa untuk meneliti representasi tersebut.

Iklan
Iklan

"Kami memohon prosiding permohonan lucut hak yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan, berikutan responden (Alvin) telah menghantar representasi pada 8 April lepas.

"Pihak pendakwaan selaku pemohon telah menerima representasi berhubung cadangan penyelesaian kes itu. Bagaimanapun, saya perlu mendapatkan arahan lanjut daripada bahagian pendakwaan AGC," katanya.

Iklan

Peguam Loi Yap Loong yang mewakili ahli perniagaan itu mengesahkan perkara tersebut.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 21 Jun untuk mendengar permohonan kes lucut hak itu.

Iklan

Pada 29 September 2021, SPRM memfailkan notis usul melucut hak wang milik Alvin berjumlah RM60,232.01 yang disimpan dalam tiga akaun banknya serta RM10,588.94 dan RM16,721.75, masing-masing milik Malaysian House of Internet Sdn Bhd dan Networld Computer (KL) Sdn Bhd.

Permohonan itu difailkan atas alasan wang yang disita pada Disember 2020 dan Januari 2021 didakwa diperoleh melalui hasil daripada aktiviti haram iaitu perjudian secara dalam talian dan dagangan mata wang kripto tanpa lesen sah.

Ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). - Bernama