Terpaksa buang perabot rosak selepas bencana air pasang

Iklan
Timbalan Pengerusi BSMM Kedah, Datuk Nasir Mustafa (tengah) menyerahkan pek makanan kepada Penghulu Kuala Kedah, Badrolhisham Abdul Rahman (tiga kiri) untuk diagihkan kepada penduduk terjejas di Masjid Putra Kuala Kedah, pada Jumaat.

KUALA KEDAH – Bencana air pasang besar pada Isnin lalu menyebabkan beberapa barangan dalam rumah milik penduduk kampung di Kuala Kedah banyak yang rosak akibat terendam dalam air banjir kilat hingga terpaksa dibuang.

Penduduk Kampung Tok Pasai, Faizawati Abdul Mutalab 43, berkata, fenomena air pasang besar sememangnya berlaku setiap tahun di Kuala Kedah namun bencana selama tiga hari bermula dari Isnin hingga Rabu lalu menyebabkan limpahan air hingga memasuki rumah penduduk kampung.

Iklan
Iklan

"Kejadian air pasang kali ini teruk hingga menyebabkan perabot dalam rumah saya ditenggelami air dan rosak teruk.

"Akibatnya, saya terpaksa membuang barangan seperti sofa, almari, tilam dan pelbagai lagi barangan rosak itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui dalam program Edaran Pek Makanan di Masjid Putra Pekan Kuah di sini, pada Jumaat.

Iklan

Katanya, selain itu beberapa barangan elektrik seperti peti ais juga dikhuatiri rosak kelak kerana dia tidak sempat untuk memindahkan peralatan itu ke tempat tinggi.

Seorang lagi mangsa dari Kampung Tok Pasai, Habsah Abdul Rahman, 63, berkata, dia juga tidak sempat melakukan apa-apa terhadap barangan dalam rumah termasuk kedai miliknya memandangkan kejadian begitu cepat pada hari pertama fenomena air pasang besar itu berlaku.

Iklan

"Selain perabot, almari, pakaian serta beberapa barangan dijual di kedai seperti beras terpaksa dibuang akibat terendam dalam air,” kata wanita tersebut.

Dalam pada itu, nasib mangsa banjir kilat sekitar Kuala Kedah mendapat perhatian daripada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan Pertubuhan Kasih Neelofa yang turun padang membantu dengan mengedarkan 1,500 pek makanan kepada penduduk terlibat dalam bencana itu.

Pengarah BSMM Kedah, Shamsul Bahar Abd Rani berkata, 1,500 pek makanan disediakan kepada anak kariah Masjid Putra Pekan Kuala Kedah dan Masjid Tunku Ahmad Tajudddin yang terlibat dalam fenomena air pasang besar.

Katanya, pihaknya prihatin dengan nasib mangsa banjir kilat yang terpaksa membersihkan rumah akibat bencana itu.

"Jadi, kami sediakan pek makanan untuk meringankan beban mereka melalui dana dikumpulkan BSMM iaitu Tabung Bencana Bulan Sabit Merah Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Kasih Neelofa,” katanya.