Ibu tunggal risau tak dapat mengait kerana tangan bernanah

Iklan
Wan Mazahuzie Wan Mohamad menunjukkan hasil pelbagai produk kaitannya. Gambar kecil : Luka tangan kanan Wan Mazahuzie Wan Mohamad masih bernanah

KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal di Kedai Lalat, di sini mula merasa buntu dan risau apabila memikirkan punca pendapatannya sebagai tukang kait semakin terjejas susulan luka pada tangan kanannya belum sembuh dan masih bernanah, sejak Mac lalu.

Wan Mazahuzie Wan Mohamad, 40, berkata, luka tersebut bermula selepas dia dimasukkan ke wad di sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit buah pinggang kronik iaitu tahap lima.

Iklan
Iklan

Dakwa wanita itu, bahagian tangan yang luka itu asalnya tempat untuk mengambil darah yang kemudiannya membengkak dan semakin teruk dari hari ke hari.

"Selepas dua minggu saya keluar dari wad hospital. Tidak lama kemudian, luka itu pecah," katanya yang bekerja sendiri sebagai tukang kait untuk menghasilkan barangan seperti beg tangan, sarung botol air dan kopiah.

Iklan

Menurut Wan Mazahuzie, akibat luka pada tangannya itu, dia tidak dapat mengait seperti biasa dan kini hanya bergantung kepada wang simpanan hasil daripada produk kait dijualnya di samping duit derma pemberian orang ramai selepas kisahnya yang mencari rezeki walaupun terpaksa menanggung sakit disiarkan oleh Sinar Harian pada Februari lalu.

"Saya kini berjimat cermat kerana perlu menggunakan wang untuk rawatan dialisis dengan kos RM100 setiap kali melakukannya. Selain itu, saya juga ada penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) iaitu membabitkan gangguan pada sistem imun tubuh badan.

Iklan

"Saya tidak memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM), cuma memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, bagaimanapun permohonan saya belum diluluskan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

Menurutnya, walaupun keadan tangan semakin pulih namun kehidupannya memerlukan sejumlah perbelanjaan yang besar kerana selain untuk rawatan pemyakitnya, dia juga menyara seorang anak lelaki berusia setahun sembilan bulan, Waiz Qayyum Roslan.

"Sebelum ini, saya ada pendapatan walaupun tidak menentu kerana bergantung kepada tempahan iaitu sekitar RM500 sehingga RM1,000 sebulan.

"Kini saya memerlukan sekitar RM1,000 untuk belanja perubatan dan membayar sewa rumah sebanyak RM400 setiap bulan,” kata wanita itu.

Kepada yang ingin membantu Wan Mazahuzie boleh hubungan talian 011-11926391 atau salurkan ke akaun Maybank Wan Mazahuzie Wan Mohamad dengan nombor akaun 153131118749.