PETALING JAYA - Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang terjejas akibat masalah teknikal pada petang Jumaat dijangka selesai dalam masa terdekat.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kemas kini terbaru di Twitter Rapid KL pada jam 6. 50 petang tadi.
Rapid KL turut memohon maaf di atas kesulitan dihadapi penumpang yang mengalami gangguan perkhidmatan tersebut.
"Perkembangan Laluan Kelana Jaya: Kami sedang mengawal selia masalah dan keadaan akan kembali normal dalam beberapa minit lagi.
"Terima kasih di atas kesabaran anda dan kami memohon maaf di atas kesulitan yang dialami," menerusi ciapan Twitter tersebut.
Tular di media sosial keadaan di beberapa stesen LRT yang sesak susulan gangguan perkhidmatan tersebut.
Pengguna perkhidmatan tersebut mengalami masalah gangguan kemudahan itu sejak dua jam lalu susulan masalah teknikal yang dihadapi di Stesen KL Sentral menyebabkan laluan Kelana Jaya berdepan kelewatan operasi.
Menerusi ciapan terdahulu, Rapid KL memaklumkan, Rapid KL telah mengaktifkan tren shuttle antaranya Bangsar ke Stesen Pasar Seni.
"Tren dari Putra Heights akan berpatah balik ke stesen Bangsar manakala tren dari Gombak akan berpatah balik ke stesen Pasar Seni.
"Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik. Pengguna disaran mendapatkan perkhidmatan pengangkutan alternatif lain bagi meneruskan perjalanan," katanya.