Jual 30 tan durian dalam 10 hari

Iklan
Roslan menunjukkan bekalan buah durian yang diperoleh dari Thailand sebelum dihantar untuk dijual di daerah-daerah yang telah ditetapkan.

SUNGAI PETANI - Sambutan terhadap durian dalam kalangan masyarakat tempatan masih lagi tinggi walaupun timbul isu bahawa harga jualan raja buah tersebut akan meningkat lagi pada tahun ini.

Seorang pemborong buah-buahan, Roslan Abdul Razak, 52, dari Tikam Batu, dekat sini berkata, kira-kira 30 tan durian mampu dijualnya dalam tempoh 10 hari pada sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika ini kebanyakan durian yang diperolehnya datang dari Thailand dan dijual di pasar malam di beberapa daerah di Kedah, Kuala Lumpur dan Johor.

"Semasa hari raya Aidilfitri, ramai warga kota pulang ke kampung dan membeli durian untuk makan bersama keluarga.

Iklan

"Alhamdulillah dalam masa 10 hari lebih 30 tan durian dapat dijual dalam tempoh tersebut," katanya semasa ditemui di stor buah-buahannya dekat sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Roslan memberitahu pihaknya juga memperoleh bekalan durian dari Pahang dan Pulau Pinang termasuk jenis musang king dan duri hitam.

Iklan

Roslan menunjukkan pulut durian dan cendoi pulut yang diletakkan bersama durian di miliknya.

"Pada awal musim durian, memang harga tinggi disebabkan bekalan tidak banyak. Tetapi apabila durian mula luruh maka bekalan semakin banyak dan mampu menampung permintaan yang tinggi, secara tidak langsung harga buah akan turun juga," ujarnya.

Menurutnya, harga durian juga bergantung kepada jenis dan grednya, malah bukan semua dijual pada harga yang tinggi.

"Tetapi bukan semua mampu beli durian gred tinggi seperti musang king dan duri hitam. Sebab itu kami juga turut menjual pulut durian untuk dimakan dengan durian gred tinggi ini.

"Kami kupas durian dan isi akan dimakan bersama pulut. Harganya dijual sekitar RM25 hingga RM39 mengikut saiz dan dijual di restoran kami, bersebelahan stor buah yang diusahakan sejak 2017," katanya.

Jelas Roslan, dia tidak menyangka pulut durian yang dijualnya itu semakin mendapat sambutan dan akan membuka cawangan keduanya pada Jun ini.

"Dalam berniaga ini saya juga mahu berkongsi rezeki. Pembukaan restoran pulut durian memberi ruang kepada mereka yang kurang mampu untuk turut merasai durian dari gred tinggi," katanya.