KUALA LUMPUR - Dalang dan ketua sindiket dadah dalam radar Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Menurutnya, polis akan mempertingkatkan operasi dan serbuan untuk menahan ketua sindiket dadah di negara ini.
"Pengedaran dadah ini tidak boleh dihapuskan selagi ketua sindiket dadah masih bermaharajalela di negara ini.
"JSJN menyahut cabaran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mahu kegiatan pengedaran dadah perlu diperangi habis-habisan untuk menjamin masa depan remaja di negara ini," katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Sambutan Hari Raya anjuran JSJN di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Beliau berkata, jenayah narkotik ini bagai tiada kesudahan apabila aktiviti dan tangkapan sentiasa dijalankan termasuk kejayaan tangkapan serta rampasan dadah lebih 21 kilogram (kg) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa hari lalu.
"Kes terbaharu semalam (Jumaat) dilaporkan seorang warga tempatan di Singapura ditangkap ketika cuba membawa masuk dadah bernilai lebih RM1 juta.
"Perkara ini tidak akan habis di situ sahaja. Mereka (sindiket) akan mencari ruang dan jalan untuk teruskan akvititi mereka. Apabila saya ambil alih JSJN sejak Januari lalu, sehingga hari ini saya beri tumpuan kepada tangkapan tokan dadah. Berdasarkan Op Tapis yang dilaksanakan juga, kira-kira 1,500 tokan dadah telah ditahan," ujarnya.
Ayob Khan berkata, JSJN akan teruskan momentum ini dan memberi tumpuan terhadap penangkapan ketua-ketua sindiket untuk terus melumpuhkan jenayah ini.