Sultan Nazrin berangkat ke majlis rumah terbuka MB Perak

Iklan
Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Jamuan Raya Aidilfitri Menteri Besar Perak di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong pada Sabtu.

LENGGONG - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Sabtu berkenan berangkat ke Jamuan Raya Aidilfitri Menteri Besar Perak di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong di sini.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira jam 12 tengah hari diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Iklan
Iklan

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan agensi negeri.

Iklan

Sultan Nazrin kemudiannya diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad ke ruangan santapan untuk bersantap bersama tetamu yang hadir.

Rumah terbuka yang dihadiri kira-kira 10,000 rakyat berbilang kaum itu berlangsung dalam suasana meriah dengan orang ramai mula berkumpul di pekarangan KKTM seawal jam 9.30 pagi.

Sultan Nazrin beramah mesra dan berkenan mengambil gambar bersama tetamu yang hadir sebelum berangkat pulang.

Iklan

Tinjauan mendapati, kebanyakan tetamu yang hadir bersama keluarga turut memakai pakaian sedondon bagi menceriakan suasana majlis rumah terbuka Aidilfitri berkenaan.

Saarani dalam sembah ucapannya berkata, pelaksanaan fasa endemik sejak 1 April lalu membolehkan sekalian rakyat khususnya umat Islam dapat merasai semula keindahan Aidilfitri dengan menggamit kembali tradisi kunjung mengunjung dan rumah terbuka.

Katanya, segala nikmat yang dikecapi sepanjang pelaksanaan fasa pemulihan ini adalah berkat kesatuan hati dan semangat perpaduan rakyat tanpa mengira sempadan kaum dan agama dalam berjuang mengharungi krisis kesihatan yang benar-benar menguji ketabahan semua.

"Sesungguhnya, keberangkatan baginda sultan besar maknanya, memancarkan sifat kesantunan Tuanku yang tidak pernah jemu mendampingi dan mendekati rakyat jelata.

"Kehadiran rakyat dari pelbagai lapisan kaum dan agama, adalah simbol penzahiran kepada kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan kepada pemerintahan Tuanku, lantas mengabsahkan hakikat betapa eratnya hubungan Raja Pemerintah dan rakyat jelata," katanya.

Sultan Nazrin berangkat meninggalkan majlis tersebut selepas berkenan meluangkan masa kira-kira satu jam.