PASIR PUTEH - Hanya pesawah yang berdaftar dengan pejabat pertanian akan menerima bantuan bulanan RM200 untuk enam bulan sementara menunggu hasil tuaian, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Beliau berkata, sehubungan itu, pesawah yang belum berdaftar diminta segera menghubungi pejabat pertanian berdekatan serta melengkapkan pendaftaran mereka bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan itu nanti.
"Kita (MAFI) memberi jaminan mereka yang berdaftar dengan pejabat pertanian sahaja layak mendapat bantuan itu bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Mesra Aidilfitri Parlimen Pasir Puteh di sini pada Sabtu.
Pada Rabu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju memberi bantuan bulanan RM200 untuk enam bulan kepada pesawah sementara menunggu hasil tuaian.
Beliau berkata, bantuan itu telah dibincangkan bersama dengan Kementerian Kewangan dan akan dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang dijangka dibentang pada Oktober ini.
Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, bantuan kepada pesawah itu membuktikan kerajaan sangat prihatin dengan nasib golongan tersebut.
"Bantuan itu juga memberi semangat baharu kepada golongan pesawah untuk bekerja lebih keras sebagai barisan hadapan bagi menyediakan bekalan makanan yang mencukupi terutama beras bagi keperluan negara,” katanya. - Bernama