KOTA BHARU - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti beberapa langkah segera yang perlu diambil termasuk penutupan taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak bagi mengelak penularan kes jangkitan penyakit tangan, kaki serta mulut (HFMD) di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, penelitian khusus perlu dilakukan sebelum sebarang langkah diambil berikutan isu berkenaan berkaitan dengan soal kesihatan dan keselamatan umum.
"Isu ini turut membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jadi kita sedang meneliti dan memandang serius perkara ini kerana membabitkan isu keselamatan kanak-kanak.
"Sekiranya situasi penyakit itu terus berbahaya maka memerlukan tindakan segera bagi mengelak penularan penyakit HFMD daripada menjadi wabak seperti Covid-19,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Zakat dan Bakul Makanan kepada Pengayuh Beca serta Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 di Jalan Atas Banggo pada Sabtu.
Hadir sama Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia daerah Kota Bharu, Tuan Harun Tuan Yahya dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup.
Media pada Sabtu melaporkan, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mengarahkan taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak di negeri itu yang merekodkan lebih daripada empat kes jangkitan HFMD, ditutup selama 10 hari.
Siti Zailah berkata, tindakan Melaka sebagai langkah mengawal dan pencegahan wabak yang selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sangat baik untuk diteliti.
"Saya memuji tindakan Melaka memandangkan langkah itu dilihat untuk menyelamatkan keadaan jangkitan itu daripada menjadi lebih teruk.
"Tindakan Melaka membabitkan banyak agensi dan mengambil kira kebimbangan penyakit itu akan tersebar dengan lebih meluas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menuntut pihak pengurusan taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak serta ibu bapa mengambil berat soal kesihatan serta kebersihan di institusi masing-masing.
"Sentiasa pantau tahap kesihatan di institusi-institusi yang terlibat dengan kes seumpama ini bagi mengelak potensi penyakit daripada merebak,” katanya.
Sementara itu, Said berkata, setakat ini, belum ada kes penutupan taska, tadika di bawah seliaan jabatan itu ditutup susulan penyakit berkenaan.