[DIKEMAS KINI] MESYUARAT tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang akan berlangsung di Davos, Switzerland pada 22 hingga 26 Mei 2022 merupakan platform terbaik untuk Malaysia menyampaikan suara kepimpinan negara dan juga rantau ASEAN dalam mengamalkan ekonomi yang terbuka, mampan dan memanfaatkan semua.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mewakili Malaysia pada mesyuarat kali ini akan mengadakan beberapa sesi dua hala dan pelbagai hala bersama perwakilan negara asing dan syarikat swasta dari luar negara.
"Tengku Zafrul turut dijadualkan berucap sebagai ‘speaker/contributor’ dalam empat sesi di WEF," demikian menurut Laporan Kewangan Rakyat (LKR) ke-95 yang diterbitkan pada Sabtu.
Menurut laporan tersebut, empat sesi yang akan disertai Tengku Zafrul ialah: A Digital ASEAN for All untuk memberi penerangan mengenai dasar, inisiatif dan hala tuju digitalisasi negara bagi meningkatkan keyakinan para pelabur terhadap Malaysia; Taking the Long View untuk memberi penerangan akan pencapaian Malaysia dalam melakar pelan jangka masa panjang negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 terutamanya dalam konteks Covid-19;
Global Risks in an Era of Turbulence untuk memberi penerangan akan usaha Malaysia dalam menangani risiko global jangka masa panjang; dan Bengkel Building Resilience: Financing Local Economies untuk berkongsi dan bertukar pandangan mengenai dasar, inisiatif dan bantuan Kerajaan dalam membina daya tahan ekonomi negara terutamanya sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meningkatkan keyakinan komuniti global terhadap Malaysia.
Bertemakan Working Together, Restoring Trust, WEF akan membincangkan pelbagai isu strategik dan mencari penyelesaian bersama berkaitan perancangan dasar pelbagai pihak untuk menangani masalah ekonomi, alam sekitar, politik dan sosial terutamanya akibat pandemik Covid-19.
Menurut laporan tersebut, secara tidak langsung, penyertaan dalam mesyuarat berkenaan akan menyampaikan suara kepimpinan bagi pihak Malaysia dan juga rantau ASEAN dalam mengamalkan ekonomi yang terbuka, mampan dan memanfaatkan semua.
LKR merupakan penjenamaan semula bagi laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan secara mingguan sejak April, tahun 2020. - Bernama