IPOH - Semua anggota tubuh manusia dan mayat milik dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki di Gunung Suku, Simpang Pulai telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, perkara itu bagi proses bedah siasat dijalankan dan pengesahan identiti mangsa terlibat.
Menurutnya, penemuan berkenaan bermula pada Isnin lepas yang menjumpai satu anggota tubuh manusia iaitu kaki kiri ketika operasi mencari dan menyelamat digerakkan di bahagian atas Gunung Suku.
"Pada keesokan harinya (Selasa) pada jam lebih kurabg 10.20 pagi, pasukan penyelamat menemui satu lagi anggota tubuh manusia iaitu bahagian pinggang ke atas tanpa kepala di bahagian laluan Pos Atab baru, disyaki milik mangsa yang sama.
"Terkini, dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah berjaya menjumpai satu mayat milik mangsa kedua.
"Mayat itu ditemui tertanam dalam tanah, satu meter di tepi laluan Sungai Gunung Suku berhampiran Kilometer 13 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, dengan penemuan anggota tubuh manusia dan mayat yang dipercayai milik dua pendaki terbabit, operasi mencari dan menyelamat telah ditamatkan.
Katanya, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Pos Atap Baru juga ditutup.
"Polis mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan dan swasta yang turut membantu dalam operasi ini," katanya.
Kedua-dua wanita itu dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian pada jam 5 pagi, Ahad lepas.