'Serbuan bukan di pejabat DUN Gombak Setia'

Iklan
Polis menafikan hantaran di media sosial yang menyatakan salah seorang kakitangan Pejabat Penyelaras DUN Gombak Setia diberkas bersama empat beg ketum.

GOMBAK - Polis menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengenai serbuan di pejabat penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia dan merampas empat beg daun ketum.

Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, serbuan kira-kira jam 10.45 malam pada Jumaat oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu dijalankan di pekarangan Dewan Beringin, Taman Sri Gombak di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi itu telah menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dua biji pil disyaki dadah eramin 5, satu botol dan lima bungkusan disyaki air ketum.

"Suspek berusia 29 tahun bukanlah petugas di pejabat penyelaras DUN Gombak Setia.

Iklan

"Rampasan dibuat dalam sebuah khemah di pekarangan Dewan Beringin dan bukan di dalam pejabat penyelaras DUN Gombak Setia seperti dakwaan yang tular," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah Zainal, dewan terbabit adalah dewan serbaguna yang digunakan oleh masyarakat Taman Sri Gombak serta kawasan sekitarnya.

Iklan

Katanya, suspek kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 12(2) Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar," ujarnya.