SHAH ALAM - Kesalahan tiada lesen memandu kompeten (CDL) paling banyak dikesan sepanjang empat jam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di enam lokasi sekatan jalan raya sekitar negeri ini pada Sabtu.
Lokasi sekatan yang terlibat adalah Plaza Tol Petaling Jaya (menghala Sunway), Plaza Tol Sungai Ramal, Plaza Tol Rawang Selatan, Plaza Tol Rawang Utara, Kilometer (KM) 60 Jalan Klang - Teluk Intan dan KM 9 Jalan Banting - Klang.
Timbalan Pengarah JPJ Negeri Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, Op Pengarah bermula jam 8 malam itu telah mengesan sebanyak 1,130 pelbagai kesalahan selain 859 buah kenderaan yang diambil tindakan.
"Berdasarkan pecahan, jumlah kesalahan tiada lesen memandu kompeten adalah paling tinggi direkodkan iaitu 352 notis diikuti kesalahan cukai jalan tamat tempoh dengan 152 notis.
"Bagi kesalahan tiada perlindungan insurans pula sebanyak 140, cermin gelap (60) dan selebihnya adalah lain-lain kesalahan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, sebuah motosikal dan lori telah disita untuk tindakan di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, tujuan operasi ini diadakan adalah untuk memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan terutama dalam aspek teknikal kenderaan supaya tidak memberi kesan kepada pengguna jalan raya lain.
"Pengguna jalan raya diingatkan untuk sentiasa mematuhi semua peraturan yang ditetapkan serta memastikan tidak membuat pengubahsuaian kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi dibenarkan.
"Advokasi dan penguatkuasaan secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin," katanya.