IPOH - Proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tambun berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini.
Tinjauan Sinar Harian di pusat pengundian di Dewan AD Catering & Canopy, Bercham di sini mendapati ahli-ahli yang hadir bagi pengundian secara fizikal dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing seawal jam 9.30 pagi.
Biarpun pada awalnya berlaku sedikit perang mulut antara penyokong bagi dua calon ketua cabang yang bertanding, namun petugas berjaya mengawal keadaan.
Dua calon ketua cabang, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan Mustapa Mansor turut hadir melihat proses pencalonan.
Sementara itu, Muhamad Arafat yang ditemui berkata, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan pemilihan tersebut biarpun pada awalnya tidak bersetuju dengan peraturan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk menempatkan khemah calon 200 meter dari pusat mengundi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Hulu Kinta berkata, pemilihan kali ini lebih teratur berbanding pada tahun 2018.
"Saya yakin akan mempertahankan jawatan Ketua Cabang Tambun ini. Kali ini saya jangka boleh dapat lebih 1,000 undi.
"Di Cabang Tambun ada lebih kurang 7,000 ahli dan yang layak mengundi ada 4,000 orang, tetapi biasanya yang keluar pengundi tidak begitu ramai," katanya kepada pemberita ketika ditemui berhampiran pusat mengundi di sini pada Ahad.
Sementara itu, Mustapa berkata, pihaknya telah mengemukakan aduan kepada JPP mengenai pondok panas calon lawan yang tidak sampai 200 meter dari pusat mengundi
Menurutnya, secara keseluruhan proses pengundian berjalan lancar dan yakin kempen untuk mengubah kepimpinan PKR Cabang Tambun dapat direalisasikan.