Kelantan lebar status pendahulu Liga Premier

Iklan
Pemain Selangor FC 2, Muhammad Izzul Adham Suhaimi (kiri) mengasak pemain Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghai (kanan) dalam perlawanan Liga Premier di Stadium UiTM Shah Alam pada Ahad.- Foto Bernama

PENDAHULU Liga Premier, Kelantan FC mencatat kemenangan ketujuh musim ini apabila mengalahkan Selangor FC 2, 1-0 di Stadium UiTM Shah Alam, di Shah Alam.

Detik kemenangan anak didik Rezal Zambery Yahya itu hadir pada minit ke-61, setelah kedua-dua pasukan gagal menghasilkan sebarang gol pada separuh masa pertama walaupun beberapa cubaan menarik berjaya dicetuskan Selangor 2 dan Kelantan.

Iklan
Iklan

Gol tunggal perlawanan yang dihasilkan Kelantan melalui jaringan jarak jauh disudahkan Syed Sobri Syed Mohd, susulan bola muntah hasil sepakan percuma yang diambil kapten pasukan Nurshamil Abd Ghani.

Kelantan yang mula bangkit susulan kejayaan meledakkan gawang Selangor 2 itu mengasak pintu gol pasukan tuan rumah sekitar minit ke-70 dengan tiga sepakan penjuru diberikan kepada pasukan dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Iklan

Namun ketangkasan penjaga gawang Selangor 2 Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri, berjaya menafikan peluang Kelantan untuk menambah gol.

Kekalutan mencari gol penyudah oleh Kelantan pada masa tambahan menyaksikan salah seorang pemain pasukan, Mohamad Ikhwan Yazek dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan Mohd Azizan Saat Ariffin kerana mengasari seorang pemain Selangor 2.

Iklan

Perlawanan itu berkesudahan 1-0, dengan menyaksikan Kelantan berjaya mengutip tiga mata berharga di bumi Shah Alam. - Bernama