GEORGETOWN - Pelan Kontingensi Bekalan Air SPS akan dilaksanakan mulai Khamis ini untuk menangani isu bekalan air di kawasan kediaman Seberang Perai Selatan (SPS).
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya akan mengutamakan bekalan air kepada semua pengguna air domestik berdaftar yang tinggal di SPS selama 12 jam bermula jam 6.01 petang hingga 6.00 pagi setiap hari.
Menurutnya, pada waktu malam bekalan air ke kawasan perindustrian Batu Kawan dan Bukit Minyak akan dikawal dan lebih banyak air akan dipam ke kawasan perumahan di SPS.
"Memandangkan semua premis domestik perlu dilengkapi dengan tangki simpanan air 24 jam, langkah ini akan membolehkan pengguna domestik SPS mengisi tangki air mereka dan menyimpan air yang mencukupi untuk kegunaan harian.
"Sementara itu, dari 6.01 pagi – 6.00 petang setiap hari, PBAPP akan membekalkan air seperti biasa di seluruh Seberang Perai, termasuk kawasan perindustrian Batu Kawan dan Bukit Minyak," katanya menerusi kenyataan di sini pada Isnin.
Jaseni berkata, disebabkan semua premis industri harus dilengkapi dengan kemudahan penyimpanan air 48 jam, pelan berkenaan tidak seharusnya menjejaskan operasi dan produktiviti.
Mengulas mengenai isu bekalan air yang berlaku di SPS baru-baru ini, Jaseni berkata, PBAPP mencatatkan penurunan tekanan yang mendadak khususnya di kawasan merangkumi dari Valdor ke Sungai Bakap dan Nibong Tebal.
Jelasnya, beberapa rumah pam PBAPP tidak dapat mengepam air ke SPS dan disebabkan itu sebanyak 32,993 pengguna air berdaftar di SPS mengalami tekanan air rendah atau tiada bekalan air.
"Siasatan PBAPP mendapati tiada insiden besar saluran paip pecah mahupun tiada kerosakan atau kejadian tidak diingini di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua atau LRA Bukit Panchor.
"Kita dapati juga saluran keluar air terawat daripada LRA Sungai Dua dan LRA Bukit Panchor berada pada tahap optimum," katanya.
Beliau berkata, hasil penyiasatan dan data PBAPP mendapati masalah yang berlaku berkemungkinan disebabkan permintaan air domestik yang tinggi di kawasan utara SPS selain cuaca panas, kering dan peningkatan pengguna semasa musim hari raya.
Katanya, permintaan air yang ketara lebih tinggi di kawasan perindustrian Batu Kawan dan Bukit Minyak selepas cuti kerana kilang sedia ada meningkatkan operasi dalam fasa endemik Covid-19.
Selain itu, tambahnya punca masalah berkenaan berikutan permintaan air tambahan daripada kilang-kilang baharu yang muncul memulakan operasi di kawasan perindustrian Batu Kawan dan Bukit Minyak.