Kelip-kelip tarikan pelancong ke Sabak Bernam

Iklan
Mohd Muktafi (duduk, lima kanan) bergambar bersama sukarelawan pada Program Tanaman Pokok Berembang Sempena Program Alam Sekitar MDSB di Pusat Konservasi Kelip-Kelip Sungai Panjang, di sini.
SUNGAI BESAR - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi menaik taraf Pusat Konservasi Kelip-Kelip Sungai Panjang di sini, bagi memulihara habitat serangga itu, selain menarik lebih ramai pelancong.

Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Mohd Muktafi Sarpan berkata, dengan penambah baikan infrastruktur dan kemudahan lebih selesa, jumlah pelancong dalam dan luar negara dijangka terus meningkat.

"Pada masa ini, purata jumlah pelancong sekitar 3, 000 sebulan dan dijangka meningkat kepada 4,000 hingga 5,000 sebulan pada masa akan datang.

"Kita juga telah menyediakan pusat pelancongan kelip-kelip dan pelancong boleh datang ke sini untuk dapatkan maklumat terkini mengenai habitat ini dan pokok berembang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Program Tanaman Pokok Berembang Sempena Program Alam Sekitar MDSB di Pusat Konservasi Kelip-Kelip Sungai Panjang, di sini.

Sebanyak 100 pokok berembang ditanam di sepanjang lapan kilometer tebing Sungai Bernam bagi memulihara dan memastikan habitat kelip-kelip di situ terus terpelihara dan dapat dilihat pelancong pada masa depan.

Mohd Muktafi berkata, industri pelancongan kelip-kelip di kawasan itu diusahakan secara konsisten menerusi jawatankuasa penduduk.

Katanya, setiap pelancong yang ingin merasai keunikan kelip-kelip pada waktu malam hanya dikenakan bayaran sebanyak RM10 setiap seorang.

"Waktu paling sesuai menikmati keindahan serangga ini bermula dari jam 8 hingga 10 malam kerana pada waktu itu, habitat ini mengeluarkan cahaya berkelip-kelip," katanya.

Justeru tegas beliau, masyarakat terutama penduduk sekitar diminta terus melindungi kelip-kelip di habitat asalnya agar dapat menyediakan sumber eko-pelancongan yang lestari.

"Saya berharap penduduk dapat menjaga kebersihan alam sekitar supaya habitat ini terus kekal terpelihara dan tidak diancam kepupusan," katanya.