Bot tunda karam, tiga kru hilang

Iklan
Tiga kru bot tunda hilang selepas bot yang mereka naiki disyaki karam dalam kejadian di perairan Pulau Mantanan, Kota Belud pada Ahad. Gambar kecil: Mohd Rosli

KOTA KINABALU - Tiga kru bot tunda hilang selepas bot yang mereka naiki disyaki karam dalam kejadian di perairan Pulau Mantanan, Kota Belud pada Ahad.

Difahamkan, bot tunda membawa barang alat ganti itu dalam perjalanan dari Miri, Sarawak menuju ke Kota Kinabalu, namun tidak dapat dihubungi sebelum laporan polis dibuat pada jam 9.30 pagi Ahad.

Iklan
Iklan

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, laporan polis dibuat oleh pemilik bot tunda itu sendiri.

Katanya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu diaktifkan bagi mengesan bot bersama tiga kru yang disyaki karam di posisi kira-kira 35 batu nautika barat laut, Pulau Matanani.

Iklan

"Tiga kru warga tempatan ialah Lim Chung Siong, 24; Yee Lih Min, 22 dan Wilson Paul Joseph, 31, berada di atas bot ketika kejadian berlaku.

"Operasi Carilamat diaktifkan kira-kira jam 11 malam tadi (Ahad) dengan mengatur gerak KM Bistari ke lokasi bot bagi melakukan pemantauan dan pencarian awal," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Katanya lagi, operasi Carilamat itu turut melibatkan agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Kawasan pencarian bot berkenaan terbahagi kepada tiga sektor dengan keluasan 176 batu nautika.

"Maritim Malaysia menyeru kepada orang awam yang mempunyai petunjuk berkaitan kes untuk disalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Sabah dan Labuan di talian 088-387774," katanya.