KINGSTON - Tindakan seorang pekerja zoo di Jamaica yang bersungguh-sungguh mahu mengagumkan pengunjung zoo dengan memasukkan jari ke dalam sangkar singa akhirnya membawa padah.
Dalam kejadian di Zoo Jamaica berhampiran Lacovia baru-baru ini, pekerja malang terbabit dirakam melakukan provokasi terhadap seekor singa dengan berulang kali mencucuk muka haiwan terbabit.
Insiden itu disaksikan kira-kira 15 pengunjung zoo yang pada mulanya menganggap jeritan mangsa sebagai gurauan.
Satu rakaman video berdurasi 28 saat yang tular di media sosial menunjukkan mangsa 'memperlekeh' singa terbabit sebelum jarinya digigit haiwan berkenaan.
Mangsa dilihat bergelut melepaskan gigitan tersebut sebelum rebah ke tanah dengan kecederaan parah pada bahagian jari.
Difahamkan, jari manis pekerja zoo terbabit terputus dan tidak dapat diselamatkan.
Sementara itu, Zoo Jamaica dalam kenyataan berhubung insiden berkenaan menyebut, mangsa bukannya kakitangan sepenuh masa sebaliknya pekerja kontrak.
Tambah Zoo Jamaica, pihaknya memandang serius sebarang penganiayaan dan pengabaian prosedur keselamatan ketika mengendalikan haiwan di premisnya. - Agensi